Wednesday, February 25, 2009

Apreasisi karya Siti Zainon Ismail

Kod 1977.20 " Gelora Gelombang Jugra ", Pastel, 51x54 cm

Siti Zainon (SZ) nama besar yang merpersadai kesenian tanahair melalui beberapa cabang displin keilmuan. Beliau adalah pelukis, penyair dan budayawan negara. SZ tidak pernah mensia-siakan bakat yang dianugerahkan Tuhan dengan mempelopori setiap cabang kesenian dengan bersungguh-sungguh. Sebagai seorang sarjana beliau berusaha memanfaatkan bakat anugerah Allah untuk menerangi orang lain. Seperti kata pepatah " Bagaikan dian yang membakar dirinya".

Gelora Gelombang Jugra adalah meditasi seni beliau yang dilontarkan dalam nada penuh kesenyapan. Beliau menganyam garisan lyrical dengan pastel sehingga membentuk perasaan yang tenang dan shahdu. Bentuk bertextura kubah digandingkan dengan 'tumpal' dan bulan purnama menjadikan komposisi karya ini ringkas (simplicity) dan berisi. Kekuatan beliau menggunakan garisan lyrical yang di adun dengan menggunakan bentuk bertextura menyebabkan syair dan puisi yang sebati dengan jiwanya mengalir keluar melalui tanda tampak. Ulangan perkataan seakan-akan alif, lam,lam,ha yang memenuhi karyanya secara tidak langsung adalah intipati perasaan dalamannya yang mengalunkan lagu cinta abadi kepada yang maha Esa.

Bulan kuning diufuk biru adalah imejan tanda tampak yang dialirkan oleh SZ bagi membangkitkan rasa shahdu beliau terhadap kejadian malam. Allah meminta kita berfikir tanda-tanda kejadian ciptaanNya. Melewati karya ini SZ mengolah perasan tenteram dalamannya yang khusyuk memikirkan kehebatan tanda-tanda ciptaan Allah , iaitu kejadian malam. Allah menghiaskan malam dengan bulan menguning bersama udara nyaman. Allah merekacipta perasaan yang halus dan gementar yang dimiliki setiap insan. SZ menggunakan pandangan mata hatinya mentafsirkan kembali keindahan suasana malam tersebut lalu memindahkan ke atas kertas, menjadikan karya ini segar dan tenteram

Imej kubah yang menjadi dominasi komposisi pula seolah-olah melindungi kehidupan. Bentuk bertextura tumpal pula seperti kisah perjalanan menuju kesana (alam lain). Gabungan kubah, tumpal dan bulan kuning diufuk biru melalui anyaman garisan lyrical telah menjadikan karya SZ menepati ciri-ciri kesenian Islam. Menurut Titus Ibrahim Buchart seni Islam mestilah membangkitkan perasaan dalaman pemerhati sebagai 'perasaan yang bebas, lepas dan tenang. Sungguhpun kebanyakan kesenian Islam terutamanya arabes menggunakan warna minimal (misalnya putih), namun SZ berjaya membangkitkan perasaan tenang tersebut melalui perantaraan warna.

Perantaran warna yang beliau gunakan bersesuaian dengan perasaan puitisnya yang dialirkan menerusi "Gelora Gelombang Jugra". Keindahan karya ini jika dilihat melalui sudut lain ternyata cara SZ mengalunkan karya ini bertepatan seperti apa yang dibahaskan oleh Al Faruqi mengenai kesenian Islam. Al Faruqi menyentuh sruktur kesenian Islam mestilah menggunakan format keindahan Al Quran. Keindahan Al Quran diciptakan Allah diturunkan melalui perantaraan kalam, namun persembahan kalamullah tersebut disampaikan secara alunan lagu shahdu.

SZ berupaya menimbulkan getaran warna melalui kawalan garisan lyrical bertextura. Rentak tidak senada ( random rhythm) yang beliau gunakan dalam komposisi karya ternyata menimbulkan alunan shahdu yang senyap.

1 comment:

SITI ZAINON ISMAIL said...

Saudara Zainon, terima kasih kajian dan analisis karya ini. Nama anda dan tulisan ini sudah saya masukkan dalam senarai fail: Kajian Karya Siti Zainon (Seni Lukis) untuk Maklumat Seni SZI. Selamat datang ke sistem MSZ.
Saya perlukan pelajar UiTM kalau ada yang sudi menjadi NGO - khidmat seni di pusat ini menarik juga ya....