Friday, March 13, 2009

Penghayatan karya Taguchi Yoshihisha


Taguchi Yoshihisha, oil on canvas, 1991

Saya bertemu Taguchi pada kunjungan pertama ke Nagoya Univercity of Art 2004. Katalog ini diberi kepada saya semasa program risidensi selama sebulan pada tahun 2006 di sana. Beliau dan beberapa rakan lain meminta saya mengadakan pameran di Malaysia, nampaknya saya belum berkesempatan berbuat demikian. Saya berharap penghayatan karya yang saya tulis ini secara tidak langsungnya "pameran maya" ini dapat mengkabulkan hajat beliau.

Taguchi menjelaskan yang beliau meminati Cezane. Oleh itu tidak hairanlah melalui karya ini beliau melukis bentuk kabur. Minat beliau yang utama bukan terhadap bentuk sempurna menyebabkan Taguchi membuat sapuan warna secara mencadangkan bentuk. Ruang dalaman sebuah bilik telah menjadi pilihan subjek rujukannya. Garisan samada lurus, cembung , melintang antaranya dipersembahkan melalui sapuan garisan putus-putus (implied line) telah melengkapkan pemandangan sebuah ruang dalaman sebuah bilik. Kerusi, almari sofa kesemuanya tidak dipersembahkan secara jelas.

Taguchi menggunakan warna panas dan sejuk bagi menimbulkan kesegaran karyanya. Dominasi warna merah dikawasan lantai telah menjadi fokus utama karya ini. Namun kekuatan beliau menggunakan warna kontras dari key warna yang rendah dan kegelapan pada bahagian dinding bilik menyebabkan karya ini menjadi indah. Apatah lagi beliau meyeimbangkan warna biru cerah dari key warna tinggi pada bahagian tingkap rumah. Dikawasan tingkap terdapat seakan baju dan kain yang dijemur berlatarbelakangkan bangunan.

Kekuatan karya ini adalah disebabkan Taguchi melukis secara cadangan satah terhadap bentuk. Bentuk kerusi, tingkap, pakaian dan bangunan antaranya diperindahkan lagi dengan menggunakan teknik isometrik perspektif. Melalui teknik isometrik ini permukaan sesuatu satah dilihat dari pelbagai sudut pandangan mata. Keupayaan beliau membentuk komposisi dari sudut pandangan mata burung dan mata biasa telah menimbulkan kepelbagaian didalam keanekaan. Gabungan teknik isometrik tersebut melalui ruang cetek (shallow space) telah mengangkat karya ini menjadi indah.

Penghayatan karya Sharifah Fatimah Zubir ii

Sharifah Fatimah Zubir, " Garden of the heart",dipetik dari kad jemputan NN Galeri

Agak sukar untuk menterjemahkan karya SF ini. Secara keseluruhannya SF menggunakan format bentuk estetika kesenian Islam dalam pernyataannya. Sekali pandang karya ini kelihatan seperti sejadah, dua kali pandang karya ini seperti mimbar masjid. Namun secara umumnya apabila pandangan kita dapat menafsirkan gabungan sejadah dan mimbar, sudah tentunya karya ini mempunyai roh kerohanian Islam.

Seperti mana matlamat utama bentuk estetika kesenian Islam ialah mengagongkan Allah atau memercikan nilai Tauhid, gabungan serapan subjek sejadah dan mimbar memang membawa pemerhati kepada ciri tersebut. Pengunaan imbangan hampir semukur dua bedahak (approximately symertrical balance) telah menghasilkan bentuk modular bersifat gandaan. Imbangan pada bahagian kiri dan kanan dibahagikan dengan satu garis paksi ditengah menghasilkan pengulangan struktur modular. Pengulangan struktur modular tersebut secara tidak langsungnya menyerap sifat zikrullah. Umpamanya dalam Islam sifat zikir dibuat pengulangan dan juga gandaan.

Penggunaan subjek rujukan daripada alam tabii seperti burung merak dan tumbuhan telah melalui proses dineutralisasi, digaya-gayakan sehingga menimbulkan sifat mujarad. Proses mujarad atau abtraksi tersebut telah menlenyapkan sifat alamiah sehingga menimbulkan sifat kerohanian. Dalam tradisi kesenian islam bentuk alamiah tidak dinyatakan secara realiti luaran (realis) sebaliknya dipersembahkan melalui bentuk mujarad atau intipati dalaman.

Ulangan subjek rujukan tabii, warna, rupa, dan jalinan yang dikomposisikan secara pandangan saujana telah mengalihkan pemerhatian pemerhati dari titik tumpuan pada bahagian tengah karya telah menghilangkan perasaan kemuncak. Dengan erti kata lain tidak terdapat emosi permulaan, emosi pertengahan dan emosi kemuncak dalam karya ini. Secara keseluruhanya karya ini menggunakan emosi senada.

Cernaan rentak senada oleh SF dalam karya ini juga membuatkan karya ini kelihatan tenang dan tenteram. Dalam kesenian Islam tradisi seperti ukiran dalaman masjid yang mana apabila kita memasuki dewan sembahyang perasaan tenang dan tenteram akan muncul disebabkan pengulangan struktur modular ukiran yang banyak dan senada.

Garden of heart adalah pencapaian SF yang besar setelah puluhan tahun bergelumang dengan bentuk estetika. Pencarian beliau yang tidak pernah jemu telah ditemukan dengan satu perjalanan yang lebih kepada muhasabah diri. Moga perjalanan muhasabah diri ini dapat mengamit insan lain menghadapi perjalanan pulang yang di redhoi Allah. Semoga kita semua dapat pulang sepertimana sahutan panggilan Illahi......wahai jiwa yang tenang dan tenteram pulanglah dengan jiwa yang tenang, disana hanya yang ada hanyalah ucapan salam dan perkataan baik