Monday, November 18, 2013

Studio Pati 1: Ahmad Shukri Mohamed dan Umi Baizura

Ahmad Shukri Mohamed (mat yee) dan Umi Baizura (Umi), dua orang karyawan seni visual Malaysia yang sangat progresif dan dinamik. Sepasang suami isteri yang berganding bahu mengangkat martabat seni visual kemerata dunia. Mat Yee menumpukan kepada penghasilan karya seni catan dan pemasangan, sementara Umi menerokai seni seramik dan seni pemasangan. Mereka membina studio Pati 1 di puncak Alam dengan bermodalkan keazaman yang kuat untuk mengembangkannya keperingkat antarabangsa.

Aku dan Ahmad Shukri

Umi


Studio Pati 1 berdiri dengan megahnya, telah menjadi sebuah universiti seni visual yang telah berjaya menjadi tempat rujukan ilmu samada dari dalam dan luar negara.Saban bulan studionya dilawati terutamanya oleh para pelajar dan sarjana seni visual.

Studio Pati 1 bukan sahaja menjadi tempat melatih karyawan baru atau artis muda bahkan mereka juga sering mengadakan program residensi dari peringkat antarabangsa.


Studio Pati 1 adalah lambang kegigihan sepasang suami isteri atau sepasang karyawan negara yang mendedikasikan sebahagian dari hidup mereka untuk memartabatkan seni visual negara hingga ke peringkat antarabangsa


Mat yee yang aku kenali merupakan seorang karyawan yang yakin dengan ketentuan rezeki dari Ilahi. Katanya selagi kita meletakan muka disejadah dan yakin dengan pemberianNya insyaallah kita akan mendapat rezeki. Bukan senang sebenarnya untuk menjadi karyawan sepenuh masa. Penulis sendiri pernah mencuba untuk berkarya sepenuh masa tetapi tewas kerana cabaran dan dugaanya terlalu besar. Disaat penulis menyambung belajar untuk menjadi tenaga pengajar Mat Yee mengambil keputusan untuk menjadi karyawan sepenuh masa kemudian diikuti dengan umi

Bagi merealisasikan impian mereka untuk meletakan Studio  Pati 1 ke peta dunia, mereka berdua terus bergerak sebagai karyawan sepenuh masa. Bersama-sama dengan Mat Yee, Umi bukan sahaja berjaya melakarkan studio pati 1 di peta dunia, bahkan Umi berjaya memecah tradisi rekaan karya seni seramik kontemporari. Seni seramik tidak lagi dipersembahkan secara tradisi dimana karyawan menggunakan seratus peratus tanah liat sebagai proses berkarya. Umi bukan sahaja menggabungkan bentuk seramik dengan pelbagai bahan seperti besi, tembaga dan kayu antaranya. seni seramik yang di nukilkan oleh umi telah berkembang bersama seni pemasangan yang pelbagai telah mengangkat karya seni seramik Malaysia yang sangat kontemporari.

Mat Yee seorang usahawan seni Visual yang gigih berkarya menaburkan sumbang bakti kepada negara. Beliau tidak bersifat individualistik. Ini adalah kerana, dengan nilai lukisannya mencecah puluhan ribu ringgit sekeping Mat Yee boleh membina empayarnya tanpa memikirkan masyarakat. Namun Mat yee membudayakan masyarakat dengan seni visual sambil membantu insan lain membina masa depan seni visual negara. Sesungguhnya studio Pati 1 adalah semangat, perjuangan dan pengorbanan Mat yee dan Umi bagi memartabatkan seni visual negara.

Penulis teringat semasa dizaman 90an dimana kami sama-sama tinggal di Meru. Waktu tersebut kami baru memulakan proses hendak menjadi karyawan. Pada waktu itu kami bekerja sebagai pengajar separuh masa di itm. Penulis terkenangkan dalam satu perjalanan pulang dari kota Baharu (penulis menghantar orang rumah untuk bersalin), Mat Yee pulang ke kampung. Sampai di Machang kereta penulis pancit, setelah menukar dengan  tayar terpakai, poket penulis kosong. Kami meneruskan perjalanan ke Meru. poket Mat Yee pun cuma tinggal lima ringgit sementara menunggu elaun kerja sambilan dua tiga hari lagi. Sampai di seksyen 2 Shah Alam Mat Yee mengajak penulis makan tengahari di gerai seksyen 2, katanya dia belanja. Mat Yee membeli empat keping roti berkerim dan memberi penulis dua keping. Tengahari itu Mat Yee belanja penulis makan tengah hari dengan dua keping roti dan segelas teh tarik. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Meru

Studio Pati 1 semoga dapat menginspirasikan beribu karyawan seni visual bagi mengangkat martabat seni visual negara ke mata dunia, wassalam

Saturday, November 16, 2013

Muh Sarip : karyawan negeri bawah bayu


Muh Sarip, seorang karyawan muda yang prolifik. Beliau menghasilkan karya seni catan realis yang digabungkan dengan  imej abstrak. Subjek rujukan karyanya kebiasaanya dipersembahkan secara realis, sementara latar belakang karyanya dihiasi dengan bentukan corak abstrak. Muh Sarip amat suka membuat kombinasi subjek rujukan dari alam manusia dan alam haiwan yang dipasangkan dengan subjek mesin, robot maupun tranformer. 

Secara tidak langsungnya Muh Sarip yang membesar dizaman tranformer mempersembahkan  karya yang mewakili zamannya. Kini dunia teknologi telah mengambil alih sebahagian besar kehidupan kita, manusia. Kita seolah-olah tidak lagi boleh dipisahkan dengan kemajuan teknologi. Teknologi berubah hampir setiap hari. Teknologi internet umpamanya telah memendekkan jarak dunia dan komunikasi. Komunikasi yang beribu batu dipendekan hanya dihujung jari sahaja. Namun bahana teknologi ini pun seperti dadah juga, jika sekiranya kita tidak menggunakan dengan betul ia akan menjadi pemusnah yang berbahaya. 

Melalui karya ini yang bertajuk NMW 2.10 Hip Hop Less, Muh Sarip, menggabungkan watak beruang dan tranformer. Beruang yang sedang mengaum adalah simbolik Muh Sarip terhadap manusia yang bersifat binatang. Manusia yang menyalahgunakan teknologi untuk menghina orang lain. Manusia yang lupa diri walaupun membesar dibumi bertuah Malaysia, namun menggunakan teknologi terkini membina kehidupan yang penuh perasangka dan perasaan hasad dengki. Muh Sarip membiarkan rupa kosong pada bahagian hati dan perut tersebut sebagai tanda protesnya terhadap tingkah laku manusia yang bersifat binatang dan tidak berhati perut. Sepatutnya walaupun pegangan hidup manusia itu berbeza namun biarlah kita hidup dalam suasana harmoni tanpa benci membenci



Me and The Killer scissor, 2010.  Adalah luahan Muh Sarip terhadap sifat gunting dalam lipatan yang menjadi budaya sesetengah orang. Gunting yang dipersembahkan secara realis dan sedang momotong kain kanvas adalah sinikal Muh Sarip terhadap sifat menikam dari belakang yang sangat menyakitkan. Mengata, mengumpat merupakan sifat manusia yang suka menikam dari belakang dimana sifat tersebut sangat dilarang. Sehinggakan Rasulullah (s.a.w) pernah mengumpamakan sifat tersebut seperti memakan daging saudara yang telah mati

Mastemind of Conspiracy, 2010, merupakan imej wajah watak manusia yang telah diprogramkan untuk menjadi mesin ataupun robot. Robot tersebut merupakan sebuah mesin yang hanya mengikut arahan. Sifat kemanusiaan seolah-olah gugur berkeping-keping hinggakan muka manusia telah berlubang.  Manusia robot yang telah dibuang sifat manusia yang hanya dijadikan boneka untuk mencapai kejayaan pribadi. Konspirasi merupakan propaganda ataupun pukau moden yang digunakan oleh sesetengah manusia untuk mencapai cita-citanya. 


Secara keseluruhannya Muh Sarip menggunakan komentar sosial bagi menyampaikan mesej karyanya. Kritikan-kritikan tersebut merupakan saripati pandangan, pengalaman dan persekitaran yang dilalui oleh Muh Sarip. Kini kemajuan teknologi yang meledak begitu dahsyat telah menyebabkan berlaku ledakan zaman keji mengkeji dan fitnah menfitnah. Kini ada ketikanya manusia lebih percaya khabar dari teknologi walaupun belum tentu kesahihan faktanya. Fakta-fakta sahih dari al Quran dan Sunnah misalnya sudah kurang diperdulikan. Ledakan teknologi  merupakan sebuah bom jangka yang sedang menunggu masa untuk meletup. Namun jika sekiranya kita masih berpandukan al Quran dan hadis dan menggunakan teknologi dengan cara yang baik, boleh jadi dapat mengawal bom jangka dari meletup ataupun setidak-tidaknya melambatkannya.

Mr Concept Sial, 2010


Rip, 2010





Tuesday, November 12, 2013

Studio Kawthar (telagafakir) bahagian iii

Seorang sahabat telah menegur aku, tentang nama studio telaga fakir. Katanya nama tersebut juga adalah doa. Jadinya aku mengambil keputusan untuk menukar nama baru studio aku iaitu  studio Kawthar. Nama baru ini aku ambil dari surah al Kawthar yang bermaksud "nikmat yang banyak". Surah tersebut mengandungi tiga ayat " Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah telaga di syurga. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci mu, dialah yang terputus (daripada rahmat dan kebaikan).



Sudah lama aku tidak menulis, ini disebabkan aku banyak menyiapkan taman. Kebiasaanya pada waktu cuti semester aku akan mengambil cuti panjang untuk menyiapkan taman. Begitu juga diwaktu lepas kerja dan cuti umum, jika tidak ada aktiviti lain.


Gambar-gambar ini adalah antara kerja-kerja penghasilan taman yang telah mengambil masa lebih dari setahun.
Ini adalah laluan diantara rumah dan studio

Ini pula laluan disebelah belakang studio 
Ini adalah laluan melalui pintu belakang studio aku, yang mana aku gabungkan batu lombong dan bata merah