Thursday, December 22, 2016

Ambiguity

Pameran berkumpulan Ambiguity 

Terima kasih Galeri Prima Kerana menyediakan ruang untuk para karyawan berpameran. Dikenali sebagai NSTP Art Gallery dahulunya. Kini Galeri Prima beroperasi dibangunan yang di ubahsuai dimana  ia menawarkan ruang yang lebih luas dan boleh menampung kerja-kerja seni kreatif serentak.Galeri Prima kini memainkan peranan yang lebih penting dalam meggalakkan dunia seni kreatif tanahair

Pameran ini menggabungkan 11 artis Malaysia dari pelbagai latar belakang pendidikan dan umur. Ianya bukanlah kumpulan yang dibentuk secara khusus sebaliknya kumpulan yang dibentuk secara sepontan dan santai  sahaja. Kami para pengkarya merasa sungguh bertuah dan gembira apabila karya-karya kami dapat dipamerkan. Para karyawan tersebut terdiri daripada Hamdan Shaarani, Zaharin Mohammad, Zaim Durulaman, Zainon Abdullah, Johan Marjunid, Nor Hanem Mohd Nor, Zarina Abdullah, Azman Hilmi, Jamit Mat Isa, Anassuwandi Ahmad dan Rosli Zakaria

Ambiguity bermaksud kekaburan, kesamaran, asal dari kata pokok ambiguous yang bermaksud  kabur, samar, mempunyai dua atau lebih makna dan tidak tentu. Kebiasaanya ambiguos atau ambiguity dalam elemen rekaan terdiri  daripada  ruang positif dan ruang  negetif yang terhasil dari dua rupa yang di tindan lalu menghasilkan ruang baru yang samar diantara ruang positif dan negetif. Kebiasaannya dua buah pasu yang diletakan di bahagian kiri dan kanan lalu muncul ruang baru di tengah-tengahnya  menjadi rupa orang adalah gambaran yang seringkali dapat menjawab tentang ruang anbiguous.

Pameran ini bukanlah garapan dari ruang ambiguous seperti diatas, sebaliknya ambiguity atau ambiguous yang bermaksud mempunyai dua atau lebih makna yang akan dibincangkan dan diterjemahkan lewat pameran ini. Dua atau lebih makna adalah yang tersurat dan tersirat. Yang tersurat adalah komposisi bentuk karya yang dihasilkan pelukis. Sementara yang tersirat ialah makna yang dihasilkan dari konteks falsafah dan pemikiran pelukis.

Karya pelukis 1 : Hamdan Shaarani

Hamdan Shaarani terkenal dengan karyanya yang melukis pemandangan air yang membias lanskap. Secara tersuratnya Hamdan menggunakan komposisi mata burung untuk menjadikan karyanya unik. . Kebiasaannya Hamdan melukis biasan bayangan yang yang dihasilkan melalui format kamera. Namun perubahan yang ketara melalui pameran ini Hamdan membuat inovasi dengan membuat tindanan beberapa bayang-bayang biasan. Warna yang lebih terang di sapukan pada bahagian bayang pokok menyerbabakan karya Hamdan menjadi lebih dinamik

Sementara yang tersiratnya Hamdan menyelami biasan air sebagai refleksi diri kita terdadap cermin muka dimana kita sentiasa melihat wajah kita.  Wajah kita didalam cermin adalah bayangan kita tentang diri kita yang sebenarnya. Warna-warna garang didalam karyanya seolah -olah cerminan terhadap suka dan duka kita sebagai manusia. Melihat lanskap yang terbias kedalam air seperti melihat diri kita dalam cerminan besar dunia, sebagai tamsilah terhadap alam disana.








Karya pelukis 2: Zaharin Mohammad

Karya zaharin secara tersuratnya dihasilkan  melalui  garisan dan textura . Warna  permukaan batu, kayu, tanah dan lumpur menjadi subjek inspirasinya. Beliau cuba memaparkan kekayaan alam dengan warna-warna emas dan ceria. Beliau melihat alam secara pandangan dekat dengan menimbulkan kesan garisan dan textura. Alam adalah tempat untuk kita diami, sambil meneruskan aktiviti kehidupan.Alam juga tempat kita mencari rezeki. Namun begitu alam ini juga merupakan tempat untuk kita menghadap Illahi.

Secara tersiratnya melalui kesan garisan dan textura yang sarat Zaharin cuba memberi gambaran sinis seolah-olah bumi sedang sakit dan terluka. Kesan lapisan bumi, permukaan tanah, batu dan lumpur adalah sebab kepada berlakunya kesan bencana alam hasil dari tangan manusia sendiri.Banjir lumpur, gempa bumi dan bencana alam berlaku akibat sifat tamak manusia membinasakan alam.Melalui karyanya Lembah Emas Zaharin cuba mengambarkan keindahan alam ciptaan Allah, namun dalam masa yang sama beliau juga memaparkan kesan bencana alam melalui garisan dan texturanya. Secara tersiratnya Sememangnya Allah telah memberi amaran yang bermaksud "bumi ini dimusnahkan   disebabkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri"

                                       





Karya pelukis 3: Zaim Durulaman

Pada pameran kali ini saudara Zaim menghasilkan kembali siri perahu nelayan. Beliau membuat kombinasi perahu nelayan dengan bulan gerhana dan  pisang. Apa yang tersurat melalui karyanya Zaim menggunakan warna-warna ceria, kusam dan gelap antaranya. Bentuk perahu yang kebanyakannya di formasikan  sepasang dihasilkan secara realisma. Namun Zaim mengkontrakan dengan latar belakang bulan gerhana atau pisang dengan menggabungkan latar cetek.

Secara tersiratnya Zaim membuat tamsilan  metafora kehidupan .  Kehidupan adalah perjalanan yang penuh dengan suka dan duka.Perjalanan kehidupan adalah umpama perahu yang terumbang ambing di tengah samudera.Siangnya berpanas, berhujan dan malamnya berembun. Kehidupan ini juga adakalanya ceria, gembira, adakalanya duka. Ada masanya kita dapat rasakan seperti gerhana dan ada masanya kita rasa kehidupan ini seperti bulan purnama. Itulah apa yang Allah berikan kepada kita untuk melengkapi perjalanan di dunia ini sebagai pelengkap ujianNya dan juga sebagai khalifahnnya







Karya Pelukis 4: Zainon Abdullah

Zainon Abdullah menggunakan subjek alam  iaitu tumbuhan dan angin sebagai olahan karyanya. Ada juga karyanya dipasangkan dengan objek peperangan dan puisi. Zainon menggabungkan subjek tumbuhan dan angin dengan menggunakan garisan lirikal. Secara tersuratnya beliau menggunakan warna panas dan sejuk bagi membentuk komposisi karya.

Secara tersiratnya Zainon cuba menggambarkan kebesaran pencipta  dengan mengenegahkan  tiupan angin keatas dedaunan dan subjek lainnya. Angin suatu jisim kehidupan yang abstrak. Kita dapat merasa kehadirannya tetapi kita tidak dapat melihat jisimnya. Ia tersembunyi sebagai satu rahsia. Itulah yang maha pencipta iaitu Allah. Allah mencipta angin untuk membuktikan kepada kita kewujudannya dan kehebatannya. Ada juga karya zainon digabungkan dengan subjek peperangan dan puisi. Gabungau puisi, objek peperangan dan angin  adalah simpati beliau  terhadap mangsa-mangsa peperangan di Gaza.

  








Karya pelukis 5: Johan Marjonid

Johan Marjonid menggunakan subjek  pohon kayu sebagai wadah karyanya. Pohon-pohon tersebut dikomposisikan secara pandangan dekat tanpa daun. Johan juga menghasilkan karya menggunakan dahan-dahan pohon yang berpusing-pusing dan berpintal-pintal,  dipersembahkan dengan latar belakang tanpa daunan.Johan mernfokuskan subjek pohon dan dahan sebagai latar hadapan dengan membuat kombinasi ruang biomorfik  sebagai latar belakang karyanya.

Secara tersiratnya Johan ingin mengkhabarkan kepada kita yang bumi ini sudah semakin tua. Pohon-pohon yang tiada berdaun. Dahan-dahan yang berbelit-belit adalah gambaran johon terhadap bumi yang makin uzur. Memang benar,  sekiranya kita melihat dari sudut sains dan agama bumi kita difasa yang akhir. Banyak kemusnahan telah terjadi hingga mewujudkan malapetaka akibat dari pemusnahan lapisan ozon.

Pohon yang tiada berdaun juga tanda tampak diterjemahkan oleh Johan sebagai kemusnahan terhadap tangki oksijen manusia sedang berlaku. Tangki oksijen manusia telah dimusnahkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Manusia yang tamak tidak menyedari yang tangki oksijen itu adalah nafasnya. Oksijen yang disedutnya secara percuma itu  langsung tidak diperdulikan, justeru mereka memusnahkan bumi serakus-rakusnya






Karya pelukis 6: Nor Hanem Mohd Nor

Nor Hanem menggunakan subjek rujukan yang bersifat non-objektif dalam pengolahan karyanya. Beliau menggunakan subjek yang di inspirasikan dari alam iaitu angin, jalur cahaya, hempasan air, hijau dedaunan dan garis-garis.Ingatan dan nostalgia terhadap alam dikomposisikan menjadi nadi karyanya

Secara tersiratnya Nor Hanem menghubungkan angin, jalur cahaya, hempasan air, hijau dedaunan dan garis-garis menjadi sebuah puisi yang dilahirkan melalui tanda tampak. Puisi tersebut adalah pengalamanya terhadap kehidupan. Kehidupan ada kalanya pahit, ada kalanya manis. Ada waktunya ceria dan gembira,  ada waktunya suka dan duka. Kesemua itu adalah asam garam kehidupan yang perlu diteruskan. Boleh jadi warna putih yang mendominasi karya Hanem adalah cadangan beliau terhadap cahaya dihadapan yang terang lagi bersih. Karya hanem juga menyimpulkan kepada kita dalam meneruskan kehidupan perlu ada ketabahan dan kesabaran.




Karya pelukis 7: Zarina Abdullah

Zarina menggunakan subjek rujukan yang terdiri dari  ikan kelisa, kuda dan manusia dalam penghasilan karyanya. Beliau mengabungkan gaya ekpressionisme dengan gaya  impresionisme dalam pengolahan karyanya, Dengan menggunakan ruang cetek Zarina menggunakan subjek yang dekat dengan kita. Namun didalam karyanya yang menggunakan subjek ikan kelisa terdapat perkataan gst dan perkataan what disertakan tanda soal.

Secara tersiratnya mungkin karya ikan kelisa yang mempunyai perkataan gst dan perkataan  what serta tanda tanya tersebut adalah keluhan beliau terhadap situasi yang malanda negara kita sekarang ini. Biasanya ikan kelisa dilambangkan sebagai ikan hiasan yang mempunyai nilai yang tinggi dan menunjukkan kemewahan pemiliknya. Kuda adalah makhluk yang gagah perkasa tetapi dalam karyanya kuda hitam yang diberi separuh pakaian berupa baju biru menimbulkan satu persoalan. Seterusnya imej kuda coklat yang yang memakai pakaian separuh hitam, mempunyai sayap tetapi seolah-olah tidak dapat terbang juga menimbulkan persoalan. Albert Einstien pula adalah pemikir yang hebat. Akhirnya seorang tua bekain pelikat seperti seorang kampung. Kesemua subjek ini seolah-olah satu keluhan zarina terhadap suasana politik, ekonomi,sosial dan kegawatan yang melanda kita kini.






Karya Pelukis 8: Azman Hilmi

Azman menggunakan subek rujukan ruang dalaman rumah yang terdiri daripada pasu bunga, cawan kopi dan meja kecil. Subjek tersebut dikomposisikan dengan menggunakan ruang cetek. Beliau mengolah karyanya dengan menggunakan gaya fauvisme yang digandingkan dengan gaya ekpressionisme. Warna-warna fauvisme yang terang dibuat sapuan impasto dengan menggunakan pisau palet menyerlahkan pengolahan karya Azman

Secara tersiratnya Azman tidak mengayakan pendekatan gaya ekpresionisme dengan cara tradisi, dimana pengkaryanya meluahkan perasaan dalaman dengan membuat sosio protes dan meluahkan rasa isi hati. Azman menggunakan pendekatan yang kontra dengan menyerikan warna-warna ceria, gembira dan kemanisan kehidupan.Melalui gabungan gaya fauvisma yang sememangnya menggunakan warna-warna terang dan ceria, Azman mengajak kita menikmati kehidupan di dunia ini penuh dengan kegembiraan dan keceriaan






Karya pelukis 9: Jamil Mat Isa

Jamil menggunakan subjek khat ataupun dikenali sebagai garisan kaligrafi. Beliau menamakan siri ini sebagai zikir asma ulhusna iaitu zikir 99 nama Allah Subjek khat tersebut diterjemahkan menjadi komposisi dengan bantuan teknik cetakan. Malalui cetakan Jamil dapat membuat ulangan yang banyak untuk menghasilkan jalinan. Jalinan rekaan yang terhasil tersebut digarap oleh Jamil melalui komposisi hitam putih, monokromatik biru dan monokromatik merah.Satu  modul khat yang dicetak dipertingkatkan ulangan membentuk modul yang besar. Ulangan-ulangan modul tersebut digandakan lagi dengan memberi kesan kontras menyebabkan karya Jamil memperlihatkan kepada ciri-ciri estetika kesenian islam

Dari kontek tersiratnya Jamil menggandakan ulangan cetakan untuk menimbulkan mood berzikir. Sifat zikir itu sendiri berulang-ulang serta dipertingkatkan dan diganda-gandakan.Dalam usaha untuk mencapai tahap keimanan yang lebih tinggi amalan berzikir bukan sahaja dapat membersihkan hati bahkan dapat memberi ketenangan. Penggunaan warna hitam putih, monokromatik biru dan merah dengan kawalan modul khat yang diulang dengan tona yang lembut dapat membangkitkan perasaan tenang dan shahdu. Tindanan garisan khat yang membentuk jalinan yang banyak tersebut bukan sahaja menjadi jalinan yang rumit, tetapi melambangkan dengan berzikir akan meyelesaikan kerumitan kehidupan dan jiwa akan menjadi semakin tenang





Karya pelukis 10: Anassuwandi Ahmad

Karya Anassuwandi menggunakan subjek rujukan yang terdiri daripada manusia. Manusia yang sedang bergerak untuk menjalani kehidupan dikomposisikan dengan warna-warna setentang menghasilkan rentak rawak dan dinamik. Beliau menggunakan gaya ekpressionisme tradisi dimana corak pengkaryaanya meluahkan ekpressi diri dan perasaan dalaman. Imej manusia yang kabur dan biomorfik dikontrakan dengan latar belakang yang bertextura sehingga menghasil kesan penyamaran.Sapuan berus kasar dengan rentak rawak mewujudkan pergerakan karya yang beliau namakan siri perjuangan

Mesej tersirat yang dilontarkan oleh Anassuwandi adalah kehidupan ini penuh dengan perjuangan untuk meneruskan hidup. Samada pengalaman seseorang itu baik atau sebaliknya boleh menyebabkan seseorang itu bertindak menjadi pasif atau agresif.Anassuwandi menggabungkan  sifat manusia seperti ketakutan, perasaan marah, merendah diri, penindasan, tamak dan ego melalui warna-warna setentang karyanya. Pengalaman manusia yang kepelbagaian tersebut diterjemahkan oleh Anassuwandi menjadi persembahan karyanya. Imej manusia  samar yang  menjadi dominasi karyanya adalah tanda tampak tentang kehidupan manusia yang penuh dengan pancaroba.Siri perjuagan adalah luahan dalaman Anassuwandi terhadap bebanan kehidupan yang perlu ditempuhi dengan penuh ketabahan



Karya artis 11:  Rosli Zakaria

Rosli menggunakan medium arca dalam penghasilan karyanya. Beliau gemar menggunakan ruang sebenar berbanding dengan ruang illusi. Bagi beliau kepuasan berkarya adalah,  apabila dapat memegang dan membentuk serta mengolah karyanya. Subjek rujukan seperti seakan figura manusia yang kabur, diikuti subjek seakan ulu keris dan subjek seakan rupa biomorfik. Diatas ruang sebenar Rosli mengolah karyanya  dengan menghasilkan rentak rawak, kedeimbangan tak senada,  ketegangan dan kontra antaranya.  Kepakarannya menyusun elemen rupa, garisan dan bentuk  yang dipadankan dengan prinsip rentak, keseimbangan dan kontra menjadikan karyanya menarik

Secara tersiratnya karya beliau seakan figura kabur tersebut membawa mesej tekanan yang dihadapi dalam mengemudi kehidupan . Ini dijelaskan dengan rupa figura tersebut seolah-olah seperti sedang memegang tali regang yang mempunyai bola besi dibahagian bawahnya. Namun tekanan tersebut di seimbangkan oleh objek spring di belakangnya. Melalui karyanya subjek seperti ulu keris pula membawa mesej walaupun kita memperolehi kejayaan seperti mana pun kita perlu tunduk kebawah. Sementara dalam arcanya yang bersubjekan rupa biomorfik, membawa mesej seperti tarian dan nyanyian kegembiraan. Rupa arca tersebut seperti bunga-bungaan yang berkembangan





Pameran Ambiguity merupakan sebuah khazanah budaya dan falsafah pemikiran pengkarya. Setiap pengkarya mencurahkan konteks pemikiran dan konsep yang berbeza-beza. Karya-karya mereka harus dihargai kerana mereka  adalah sebahagian dari pemikir dan pembikin budaya Malaysia. Karya-karya mereka dapat mengisi lompang kerohanian akibat dari kesesakan pembangunan fizikal. Sesungguhnya Ambiguity adalah tanda tampak yang dihasilkan sekumpulan pengkarya yang mengekpressikan kehidupan masyarakatnya, lalu menterjemahkan budaya Malaysia