Monday, February 16, 2009

Artikel Pilihan : Tanpa Tajuk, Ismail Zain


Umpama ditelah mati emak diluah mati bapa, barangkali itulah ungkapan yang sesuai apabila penulis menerima jemputan saudara Juhari Said untuk menulis dalam ruangan apresiasi koleksi seni dalam jurnal Tanpa Tajuk. Apatah lagi penulis memilih Allahyarham Pak Mail (Ismail Zain) daripada dua artis yang dicadangkan.

Pak Mail bukanlah calang-calang seniman di Malaysia bahkan turut terkenal di arena antarabangsa. Sungguhpun penulis pernah berguru dengan beliau, namun untuk meneroka dan memahami pemikiran beliau bukanlah satu perkara yang mudah. Bahkan ada istilah yang sudah lebih 10 tahun lampau masih belum boleh penulis terjemahkannya. Apabila mengenali keilmuan dan keintelektualan Pak Mail, penulis merasakan diri ini seperti melukut di tepi gantang sahaja.

Namun begitu untuk memenuhi undangan saudara Juhari (juga bekas pensyarah penulis), jadi penulis memilih sebuah karya tanpa tajuk yang dihasilkan pada tahun 1990. Karya yang menggunakan akrilik di atas kanvas itu berukuran 120sm x 120sm. Secara umumnya karya itu terdiri daripada tiga panel menegak (vertical) iaitu panel kanan, kiri dan tengah. Panel kanan dan kiri dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian bawah, tengah atas dan atas. Pada bahagian bawah terdapat pola ukiran Melayu tradisi dengan hiasan beberapa kuntum bunga kembang pagi. Pada bahagian atasnya pula dihiasi dengan sejenis bunga liar.

Pada panel tengah pula terdapat latar belakang dan latar hadapan. Latar belakangnya terdiri daripada tujuh bahagian dimulai dengan bahagian bawah seperti bentuk pintu terbuka, disusuli dengan hiasan motif abstrak alas meja, diikuti bahagian ruang berjalin, ruang burung terbang, ruang di antara burung terbang dengan motif hiasan seperti tumpal dan akhirnya ruang mendatar di bahagian atas. Pada latar hadapannya yang terletak di bahagian bawah terdapat bunga kembang pagi yang disusun terapung-apung. Secara asasnya melalui panel kiri dan kanan karya itu didapati penggunaan imej rupa seni abstrak dan ambigious diutamakan. Terdapat tiga nilai warna iaitu tinggi (high), pertengahan (intermediate), dan rendah (low) di dalam panel tersebut.

Pada panel utama (tengah) dipisahkan oleh dua keping pemidang kayu jalinan sebenar (actual texture) yang bersifat garisan menegak (vertical line). Kemudian ulangan rupa seakan-akan pintu yang terbuka, bermula di bahagian bawah sehinggalah ke bahagian tengah karya. Di bahagian kanan dan kiri serta tengah pada rupa seakan-akan pintu terdapat ulangan garisan horizontal. Pada bahagian rupa pemidang pintu pula terdapat jalinan abstrak (abstract texture) alas meja seperti rupa rombas diikuti dengan jalinan timbulan (tactile texture), rupa burung, rupa awan dan pulau-pulau, seterusnya pengulangan jalinan abstrak seakan-akan tumpal. Akhirnya ruang mendatar di bahagian atas sekali.

Secara keseluruhannya dari aspek warna, karya itu menggunakan `skim monokromatik rendah’ (low key) iaitu warna huenya dicampur dengan warna gelap dan nuteral. Warna-warna skim monokromatik tinggi (cerah) pada bunga terapung dikontraskan dengan warna-warna pertengahan (ungu muda) pada ruang rupa seakan-akan pintu. Begitu juga dengan bahagian tengah pola ukiran Melayu dengan warna-warna pertengahan (kuning susu) dikontraskan dengan warna rendah nuteral (ungu gelap dan biru tua) di bahagian atas dan bawah pemidang kanan dan kiri. Pada bahagian atas panel tengah, rupa rombas jalinan abstrak, burung, awan serta rupa tumpal jalinan abstrak juga menggunakan warna-warna pertengahan.

Dari aspek ruang, didapati karya ini menggunakan ruang cetek, mendatar dan ambigious. Dari sudut latar terdapat `latar hadapan’ dan `latar tengah’ sahaja. Dari aspek komposisi pada latar tengah karya itu mengutamakan komposisi `keseimbangan samukur’ (symmetrical balance), manakala pada bahagian latar hadapannya menggunakan komposisi `keseimbangan tak samukur’ (assymetrical balance) terutamanya pada susunan bunga kembang pagi pada panel kiri, kanan dan tengah. Begitu juga melalui susunan jalinan timbulan (tactile quality), burung terbang dan pulau-pulau awan pada bahagian panel tengah karya. Secara keseluruhannya karya ini menekankan bentuk `keseimbangan hampir samukur‘ (approximately balance). Melihat daripada sudut `rentak’, terdapat rentak senada (regular rhythm) dan rentak tidak senada (random rhythm). Rentak senada boleh dilihat pada pola ukiran Melayu, garisan menegak (vertical) pada bahagian tengah karya dan motif abstrak alas meja. Rentak tidak senada pula terdapat pada bahagian bawah dan atas pola ukiran Melayu iaitu melalui `jalinan tiruan’ (simulated texture) seakan-akan kesan permukaan papan lapis (teknik saring sutera) dan susunan bunga-bungaan.

Karya Pak Mail kaya dengan unsur-unsur `semiotik.’ Bahasa-bahasa visual yang diolah, digubah dan disusun penuh dengan tanda berekspresi dan berimejan budaya. Sungguh pun beliau memilih subjek yang dekat dengan kehidupan seharian kita seperti pola ukiran, bunga kembang pagi dan motif alas meja umpamanya tetapi cara pengolahan imej-imej visualnya amat peka, padat dan penuh berisi.

Melalui pinjaman dan susunan pola ukiran Melayu komposisi keseimbangan sama ukur di sebelah kanan dan kiri karya juga dapat mencerminkan pemikiran Pak Mail yang menyanjungi budaya Melayu-Islam `Golden Past.’ Proses asimilasi pola ukiran yang dilakukan oleh Pak Mail bukanlah berupa cedokan, malah beliau dengan teliti membuat transformasi baru dari sudut karya seni moden. Pola ukiran ambiguity sama ukur tersebut dari aspek kesenian Islam mempunyai bahasa visual semiotiknya yang tersendiri. Unsur motif yang bersifat infinite (tiada berkesudahan) merupakan intipati falsafah pemikiran Melayu tradisi yang percaya tentang kewujudan Tuhan secara infinity.

Pola ukiran Melayu yang infinite tersebut dilatarkan secara menegak dengan hiasan beberapa kuntum bunga kembang pagi melalui pelbagai pandangan sudut yang berbeza. Penyusunan bunga kembang pagi tersebut barangkali dari segi semiotiknya adalah hubungan di antara alam tumbuhan (realiti) dengan alam mujarad (pola ukiran). Alam realiti atau suasana seharian dapat dilihat dengan lebih jelas lagi melalui susunan seni abstrak bunga kembang pagi pada bahagian atas pola ukiran. Pada tahap yang paling atas panel kiri dan kanan terdapat sepasang bunga yang barangkali dapat mencerminkan tingkat teratas alam realiti yang diinginkan oleh setiap orang iaitu kedamaian dan kesempurnaan.

Pemisah di antara panel kanan dan kiri yang menggunakan kayu jalinan sebenar (actual texture) melalui garisan menegak dapat menarik pemerhati terhadap alam kemelayuan yang sarat dengan nilai-nilai kealaman. Pemisah kayu tersebut juga berjaya menarik deria visual pemerhati terhadap pintu rumah Melayu tradisi pada panel tengah. Penggunaan garisan menegak diulang-ulang pada panel tengah iaitu melalui pintu ini dapat mencadangkan sebagai tempat bermula perjalanan ke dimensi lain. Penggunaan motif abstrak alas meja yang bersifat kesatuan (unity), dikontraskan dengan bunga kembang pagi terapung (alam realiti) merupakan cadangan titik tolak perjalanan yang panjang ke dimensi lain.

Bunga kembang pagi putih dari sudut semiotiknya membawa tatabahasa visual seperti bersifat tenang, tenteram dan damai. Komposisi penyusunan bunga kembang pagi dari aspek rentak tidak senada juga dapat memaparkan unsur-unsur kesahajaan iaitu satu daripada unsur dalaman.

Di bahagian atas karya tersebut, Pak Mail sengaja menyususn motif alas meja yang distensilkan melalui teknik spray gun. Tetapi pemilihan lima motif abstrak alas meja berbentuk rombas itu, seolah-olah mencadangkan lima elemen mujarad yang penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Barangkali sebagai seorang Muslim, lima elemen tersebut boleh membawa maksud semiotik yang pelbagai, misalnya sembahyang lima waktu dan rukun Islam.

Namun begitu, perjalanan untuk memenuhi lima elemen tersebut sungguh mencabar. Ini dapat divisualkan melalui cadangan jalinan timbulan yang dihasilkan oleh Pak Mail pada bahagian atas motif rombas di situ. Jalinan timbulan kesan sapuan pallete knife di situ memberikan ransangan psikologi kepada pemerhati seperti perasaan gusar dan berhalangan umpamanya.

Burung-burung yang berterbangan di sebalik awan biru adalah metafora kedamaian dan kebebasan, kesenangan setelah melalui ranjau dan halangan. Hakikatnya burung-burung yang berterbangan itu seperti maksud firman Allah dalam surah An-Nahl (Lebah), ayat 79 iaitu “Tidakkah mereka memerhati burung-burung yang dimudahkan terbang di angkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.”

Awan-awan dan pulau-pulau di bahagian atas burung barangkali mencadangkan tingkat tinggi perjalanan kehidupan untuk pulang `ke sana.’ Ke sana bermaksud ke dimensi lain yang dicadangkan oleh motif lima elemen tumpal dengan enam kuntum bunga abstrak disusun sebelah-menyebelah di bawah bentuk gerbang ataupun pintu lain.

Tingkat ketujuh merupakan hijab (gelap), barangkali mencadangkan alam lain (kerohanian) yang tidak dapat dipandang melalui mata kasar. Penggunaan tujuh tingkat pada panel tengah juga barangkali dapat mewakili alam falsafah Islam terhadap teori kealaman yang diciptakan Tuhan melalui tujuh petala langit dan tujuh petala bumi.

Dari aspek warna, sesungguhnya penggunaan warna-warna monochromatic dari key yang rendah dan nuteral ditambah dengan penggunaan teknik spray gun dan sutera saring, menyaksikan karya Pak Mail terkawal (tidak ekspresif) ataupun apa yang disifatkan oleh Piyadasa sebagai Cool Pragmatism. Penggunaan Cool Pragmatism menyebabkan emosi menjadi terkawal dan minda menjadi tersusun merupakan antara ciri-ciri penting struktur kesenian Islam. Kesenian Islam tidak menekankan nilai-nilai ekspresif apatah lagi nilai-nilai keindividualan.

Komposisi samukur dan hampir samukur yang dibincangkan tadi juga bercirikan kesenian Islam yang berdasarkan proportion duaan ataupun `konsep gandaan.’ Karya Pak Mail juga mempunyai konsep duaan seperti pantun yang motif-motif atau elemen-elemen pada bahagian bawah menjadi pembayang maksud mujarad pada bahagian atas karyanya.

Melihat dari sudut ruang, penolakan `perspektif dalam’ dengan mengekalkan `ruang cetek,’ `ruang mendatar’ dan `ruang ambigious’ juga bersifat struktur kesenian Islam. Satu hal lagi yang penting ialah ketertiban. Cara Pak Mail mengolah dan menyusun motif dan elemen karyanya penuh ketertiban dan berdisiplin, seolah-olah membayangkan alam tabii (realiti) tersusun menurut sunatullahnya, alam mujarad (abstrak) pun tersusun demikian juga. Semuanya tersusun tertib seperti mengikut kosmologi alam. Tertib dan terkawal juga merupakan antara ciri penting unsur-unsur formalistik kesenian Islam. Ketertiban ini barangkali bersesuaian dengan apa yang digarapkan oleh Pak Mail dengan kata-kata, “Counterpoints and relating them together is the central issue to all my work since 1970.”

Karya Pak Mail bersifat a-tectonic atau `bentuk terbuka.’ Penggunaan `titik fokus cristal graphic’ atau `berselerak’ dapat membawa mata pemerhati bergerak dari satu imej ke satu imej yang lain tanpa memusat. Titik fokus yang banyak juga menyebabkan karya beliau bersifat `kolektif’ ataupun berlawanan dengan keindividualan. Unsur kolektif tersebut pula saling kait-mengait di antara satu sama lain lalu membentuk “to counter- point and relating them together.”

Satu hal lagi yang penting melalui karya Pak Mail ini adalah kesemua imej dan imejan semiotik yang digarapnya mempunyai ciri-ciri membina (positif). Ciri-ciri kesenian Islam yang digarapkan oleh Pak Mail berasaskan falsafah membina tetapi tiada meruntuh (negatif), mencerminkan satu proses penjanaan ilmu dan proses keintelektualan beliau yang tinggi.

Dalam karya Pak Mail sukar dicari kecacatannya; bahkan ia agak sempurna (dalam konteks karya seni). Melihat dari aspek sezaman, karya Pak Mail didapati memang bersifat sezaman, bukan sahaja di persada seni tampak tanah air bahkan di arena antarabangsa. Penggunaan teknik spray gun, stencil dan hard-edge itu sendiri bersifat sezaman kerana kaedah tersebut menolak gaya conventional paint ataupun sapuan berus.

Melalui teknik di atas juga Pak Mail dapat menapis `sentuhan langsung tangan’ (konvensional). Biasanya sentuhan langsung tangan tanpa lapisan (teknik di atas) akan memungkinkan pengaliran psikologi terkawal menjadi tidak terkawal ataupun karya dipenuhi dengan kesan-kesan psikologi yang ekspresif. Dengan demikian tidak hairanlah jika Piyadasa menyimpulkan, “In his later works, Ismail successfully projected essences of a controlled, ornate Malay refinement in design, yet never forgetting that he was also producing essentially modernistic works of art, circumscribed by complex, formalistic, problem solving underpinning.”

1 comment:

bdk_terejal said...

ASSLM...... BOLE TAK SAYE DPTKAN NAME PENUH PENGARANG BESERTA BIODATA DAN JUGA TAKRIFAN2 PENTING TENTANG KARYA.CONTOHNYA SAIZ, BAHAN DAN SEBAGAINYA