Monday, February 16, 2009

Artikel Pilihan : Bumi dan Langit 1, Syed Ahmad Jamal


Dalam penulisan kali ini penulis memilih karya Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal untuk dibincangkan. Perbincangan penulis sebenarnya akan berkisar kepada fokus penyelidikan dan pendidikan. Untuk penulisan ini penulis akan membincangkan sebuah karya yang dikira sarat dengansubjek rujukan, bentuk dan isinya. Karya tersebut bertajuk Bumi dan Langit I. Apabila memasuki dewan utama Galeri Petronas di bangunan KLCC dan berhadapan dengan puluhan karya yang berskala besar, penulis berasa amat kelu dan kagum. Dengan usia melewati 60 tahun, SAJ masih bertenaga besar dan amat prolifik. Malulah kiranya pelukis-pelukis muda yang mempunyai helah dan pelbagai alasan untuk berkarya. SAJ bukan sahaja pandai berkarya semata-mata bahkan amat mantap dari segi keilmuan ataupun teoritikalnya.

Karya beliau Bumi dan Langit I telah dihasilkan pada tahun 1998 mengunakan akrilik di atas kanvas berukuran 203sm x 274.5sm. Namun begitu, secara keseluruhannya karya ini menggunakan subjek alam tabii (alam semulajadi) sebagai teras pengkaryaannya. Melihat pada format kanvas dari bawah ke atas didapati karya SAJ ini terbahagi kepada empat bahagian.

Bahagian pertama di bawahnya terdiri daripada lapisan bumi, bahagian kedua pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau. Pada bahagian ketiga terdiri daripada awan, jalur cahaya dan hujan. Seterusnya pada bahagian keempat di atasnya terdiri daripada langit dan bintang-bintang. SAJ mengukuhkan struktur karyanya dengan kombinasi garisan, rupa, bentuk, dan jalinan. Sementara komposisi karyanya diseimbangkan, dikontrakan, diulang-ulangkan, ditegangkan, dan diharmonikan.
Sapuan garisan yang pantas amat ketara sekali pada bahagian kedua karya iaitu terutamanya dalam menghasilkan imej tumbuh-tumbuhan. Cadangan tumbuhan seperti lalang ataupun di kawasan padang dihasilkan secara sapuan pantas dengan dominasi garisan condong (diagonal line). Garisan condong yang diulang secara ketara dapat dilihat pada sebelah kiri karya. Bagaimanapun, garisan cembung (curve line) dikontraskan terutamanya bahagian di antara langit dengan bumi iaitu pada bahagian berwarna ungu gelap. Garisan cembung juga amat ketara digunakan pada bahagian awan. Pun begitu, garisan melintang (horizontal line) pula dibentuk melalui tanah yang berlapis-lapis di bahagian pertama ataupun bawah karya. Garisan melintang juga agak jelas pada bahagian kiri permukaan langit dan bumi dalam karya tersebut.

Terdapat pelbagai jenis karektor garisan; ada garisan perlahan, sederhana, pantas dan tegas. Gabungan daripada berbagai-bagai jenis garisan tersebut lalu membentuk beberapa jenis jalinan (texture), memperkayakan lagi karya SAJ. Secara keseluruhannya SAJ menggunakan jalinan mujarad (abstract texture). Penggunaan rupa yang agak ketara dapat dilihat pada bahagian pertama atau bawah karya iaitu rupa merah pada tanah yang berlapis-lapis.

Dari aspek elemen ruang pula, SAJ menggunakan `ruang mendatar’ dan `ruang cetek’. Secara keseluruhannya karya SAJ mendominasikan ruang cetek. Sementara ruang mendatar pula dapat dilihat sedikit sahaja terutamanya pada bahagian pertama atau bawah karya iaitu lapisan tanah yang berwarna merah. SAJ menggunakan `warna panas’ ke `warna sejuk’ dalam pengolahan karyanya ini. Warna merah (warna panas) pada bahagian pertama atau bawah karya. Diikuti dengan warna kuning (warna panas) memenuhi sebahagian kawasan bumi. Warna biru muda (warna sejuk) di bahagian ketiga iaitu kawasan awan dan akhirnya warna biru tua (warna sejuk) di bahagian langit dan bintang-bintang. Untuk membentuk `keharmonian’ dari segi warna, warna-warna panas tersebut diulang-ulangkan pada bahagian warna sejuk. Ini dapat dilihat terutamanya pada bentuk awan dan juga bintang-bintang.

Format kanvas empat segi tepat digunakan dengan memberi penekanan kepada `kesinambungan tidak sama ukur’ (assymetrical balance). Namun begitu, SAJ juga menggabungkan `keseimbangan kristal grafik’ (crystal graphic balance) ataupun `pandangan saujana’ dalam istilah kesenian Islam (infinite patterning) di dalam karyanya. Keseimbangan tak samukur dapat dilihat dengan perletakan imej yang tidak sekata. Malah warna merah yang sedikit dikontraskan dengan warna biru yang dominan juga menimbulkan implikasi keseimbangan tak samukur.

Sebaliknya imej dan bentuk seakan-akan lalang, tanah, gunung, hujan, awan dan bintang-bintang pula membentuk struktur karya ini kepada titik fokus mencapah (keseimbangan kristal grafik) ataupun tidak memusat. Titik fokus mencapah tersebut selari dengan pandangan saujana dalam kesenian Islam. Keseluruhan format karya ini menggunakan `rentak tidak senada’ (random rhythm) kecuali pada bahagian tepi sebelah kiri, di antara langit dengan bumi. Di bahagian tepi sebelah kiri ini `rentak tersusun’ (regular rhythm) pula digunakan terutamanya pada bahagian yang digambarkan seperti hujan.

Gabungan elemen dan prinsip seni lukis di dalam karya ini membentuk satu kesatuan yang cukup mantap. Penyatuan elemen-elemen dengan komposisi serta pandangan saujana antaranya menimbulkan keanekaan di dalam kepelbagaian. Kesatuan dan keanekaan di dalam kepelbagaian itu telah membentuk karya SAJ sebagai karya yang kaya, sarat bahkan berisi nilai-nilai falsafah dan budaya. Falsafah dan budaya yang mencerminkan pemikirannya, masyarakatnya dan budayanya akan menjadi satu khazanah peradaban yang tidak ternilai harganya. Dari aspek falsafah teras utama yang ditunjangi oleh SAJ adalah tauhid. Ini dapat dilihat pada permulaan katalog pameran antara langit dan bumi (Muliyadi, 2000).

“Sesungguhnya Tuhan kami ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu ia bersemayam di atas arasy: ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti), dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang menciptakan dan mentadbirkan sekalian alam.” (surah al-A’raaf: 54).

Jika permulaan sesuatu katalog pameran itu menggunakan ayat-ayat Allah tidak bermakna karya tersebut mempunyai unsur-unsur tauhid. Falsafah tauhid menurut al-Faruqi adalah dengan mengesakan Allah. Dengan demikian, format yang dihasilkan oleh SAJ menepati ciri-ciri yang telah dibincangkan seperti di atas. Secara keseluruhannya dari aspek komposisi, SAJ terpegun dengan alam tabii yang diciptakan Allah. SAJ tidak mengambil alam tabii secara luaran yang bersifat sementara ataupun apa yang dikenali dengan istilah Barat sebagai `realistik’ ataupun menurut istilah Islam sebagai `realiti semulajadi’. Sebaliknya realiti semulajadi tersebut diabstrakkan, dipermudahkan ataupun al-Faruqi melanjutkannya dengan istilah `penggaya-gayaan’ (stylyzation) dan denutralisasikan (denaturalization).

Melalui abstraksi dan penggaya-gayaan SAJ menapis alam tabii yang bersifat semulajadi tersebut kepada satu intipati yang bersifat dalaman. Secara tidak langsung penggunaan perspektif biomorfik dan ruang mendatar dan cetek tersebut telah menolak ciri-ciri semulajadi yang mendominasikan catan-catan Barat terutamanya pada zaman Renaisan dan Realisme atau pun apa yang dikenali oleh Pak Mail sebagai ciri-ciri seni simbolis dan seni memesis.

Penolakan ciri-ciri luaran (semulajadi) yang bersifat sementara dengan penarikan atau memasukkan ciri-ciri dalaman (kerohanian) yang bersifat kekal, membuatkan karya-karya SAJ mempunyai ciri-ciri ketauhidan. Dalam pengolahan karyanya, SAJ tidak merakamkan situasi sesuatu lanskap, malah SAJ menghimpunkan pelbagai situasi di dalam sesuatu format. Terdapat situasi malam, dingin, sejuk, panas, siang, petang dan senja umpamanya. Situasi yang berlainan disatukan ke dalam sebuah karya lalu membentuk apa yang dikatakan oleh Muliyadi (2000) sebagai “Antara langit dan bumi, ia bukanlah suatu interpretasi langsung tentang alam semulajadi, sejarah ataupun sesuatu peristiwa, sebaliknya merupakan garapan idea, minda, dan cetusan hati tentang segala bentuk peristiwa dan kejadian di antara kedua-dua ruang; langit dan bumi.”

Unsur kepelbagaian garisan, jalinan, rupa dan bentuk yang digunakan oleh SAJ juga bercorak `islami’. Sungguhpun karya beliau menggunakan nada ekspresionis, namun SAJ telah membentuk kesan-kesan sapuan berusnya menjadi kesan yang terkawal. Bahkan penggunaan sapuan berus dengan diselangselikan dan ditindani dengan kesan warna sembur, menjadikan karyanya lebih terkawal. Pendek kata SAJ menggunakan ciri-ciri ekspresi Melayu yang bertunjangkan kesenian Islam.

Sapuan ekspresi tetapi terkawal seolah-olah seperti pantun ataupun bentuk kiasan Melayu umpamanya “pukul anak sindir menantu.” Konsep seperti kiasan ataupun pantun tersebut dapat diperkukuhkan lagi dengan pendapat Muliyadi (2000) yang mengatakan, “SAJ meletakkan keindahan sebagai teras kreativitinya. Baginya karya seni seperti catan perlulah indah, sekalipun membawa mesej atau penceritaan yang berat maupun menyedihkan.”

Sebagai seorang yang arif tentang bentuk kesenian Melayu-Islam, SAJ sememangnya mengambil pendekatan gaya al-Quran. Al-Quran walaupun menyampaikan cerita yang pedih dan menyiksakan tetapi disampaikan melalui irama yang syahdu lagi merdu. Alunan irama yang syahdu lagi merdu tadi adalah pokok kepada keindahan kerana `Allah itu Maha Indah dan sukakan keindahan.’

Melihat dari aspek format bawah ke atas juga, didapati penggunaan tanah dengan cadangan berlapisan dapat menegaskan lagi sifat geografik bumi yang berlapis-lapis. Tumbuh-tumbuhan, padang dan bukit diambil secara saripati, dipersembahkan secara abstrak mengingatkan kita tentang tanda-tanda kebesaran Allah melalui penciptaan alam tabii.

Bentuk seakan-akan awan yang dihasilkan dengan penuh tenaga bagaikan jantung alam semesta ataupun seperti guruh berdentum dengan memancarkan seperti jaluran kilat lalu membentuk kesan hujan (garisan diagonal). Begitu juga dengan fenomena bintang bertaburan dan langit yang berlapis-lapis, menandakan rakaman alam dalaman yang menyanjungi pencipta-Nya.

Melihat secara keseluruhan komposisi karya SAJ ini jelas kelihatan mengandungi ciri-ciri dalaman ataupun apa yang disifatkan oleh Salleh dan Fatimah sebagai ciri kerohanian. Ciri-ciri dalaman atau kerohanian tersebut selari dengan ciri-ciri tauhid seperti yang dibincangkan oleh al-Faruqi. Bumi merah di bahagian bawah catan seolah-olah bumi yang gersang. Namun begitu dengan tiupan angin yang membawa awan yang mengandungi hujan telah menyuburkan bumi yang tandus, ataupun seperti apa yang difirmankan Allah melalui surat al-A’raf ayat 57 yang bermaksud, “Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan): hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.”

Melihat dari sudut warna pula, penggunaan warna panas ke sejuk juga dapat mengajak pemerhati memikirkan sejenak tentang kehebatan alam tabii ciptaan Allah. Warna merah seperti fenomena senja, kuning seperti petang, hijau seperti siang, biru seperti fajar dan biru tua kegelapan seperti malam, mencerminkan ketelitian dan kehalusan SAJ membentuk format `Bumi dan Langit I.’

Menghubungkan elemen warna melalui komposisi catan dari atas ke bawah pula didapati warna gelap (malam) mewakili warna waktu isyak, warna biru muda (fajar) mewakili waktu subuh, seterusnya warna hijau (siang) mewakili waktu zohor dan kuning (petang) mewakili waktu asar, dan akhirnya warna merah (senja) mewakili waktu maghrib. Kelima-lima masa dan waktu yang berperingkat-peringkat ini selain menjadi nadi penting kehidupan orang Islam, juga mencerminkan pergerakan masa mengikut kosmologi atau pun sunatullah.

Melihat dari aspek sejarah pula, karya `Bumi dan Langit I’ amat berjaya sama ada dari segi bentuk, komposisi dan isinya. Penggabungan pelbagai budaya keilmuan berstrukturkan format kesenian Melayu-Islam meletakkan karya SAJ ke hadapan, malah merentasi masa. SAJ tidak berkarya secara membuta tuli seperti sesetengah pelukis muda, bahkan beliau merupakan pengkaji dan penyelidik budaya. Dengan demikian karya-karya yang digarapnya adalah tulen dan segar. Kekuatan ilmu dan saripati budaya Melayu-Islam yang menjadi teras cara hidupnya amat terserlah sehinggakan memantulkan keindahan dalaman melalui tanda visual pada karyanya.
SAJ bukan sahaja menggunakan tunjang budaya Melyu-Islam sebagai struktur karyanya, bahkan mana-mana ilmu daripada tamadun Barat maupun Timur yang baik dan bersesuaian digarapnya menjadi wadah pemikirannya. Suatu perkara yang penting, SAJ melalui karyanya itu telah melompat dari unsur-unsur konversi kesenian Islam yang lampau. SAJ berjaya membina fragmen masa baru yang menunjukkan penggabungan format kesenian Islam. Format kesenian Islam termasuklah seperti pengulangan, pandangan saujana, kerumitan, dinamik, gabungan berurutan dan meditatif dan seumpamanya. Kecekapan SAJ mencernakan tunjang kesenian Islam dengan gabungan prinsip seni Barat seperti ulangan, harmoni, keseimbangan dan kontras umpamanya membentuk suatu struktur baru dan teguh.

Biasanya khalayak akan tertanya-tanya bagaimanakah sesebuah karya itu dinilaikan atau dianggap berbudaya tinggi. Sebenarnya, sesebuah karya itu menjadi bernilai bukan kerana kehebatan pada permukaannya sahaja, tetapi juga kerana ketulenan, keilmuan, keperibadian dan keindahan pengkaryanyalah yang turut menentukan nilainya.

1 comment:

Jasmine said...

i went to the KLCC gallery yesterday and i stood there for a long time , amazing artwork and i was blown away the minute i saw it