Monday, August 1, 2011

Realisma Mata Burung : Hamdan Shaarani














Hamdan Shaarani seorang pelukis realisma "mata burung", kelahiran Teluk Intan telah berkarya sejak tahun 90 an sehingga kini. Beliau meneteap di kampung terseusun Seri Kantan, Tronoh, Perak. Sehingga kini lebih dari 15 tahun menyumbangkan kepakarannya sebagai tenaga pengajar di Universiti teknologi mara Perak.


Sungguh pun Hamdan menghasilkan karya menggunakan teknik realisma namun konsep pandangan "mata burung" yang digunakan oleh beliau menyebabkan karyanya menjadi unik. Beliau memilih subjek alam semulajadi yang asli sebagai subjek rujukannya. Diantara tempat-tempat yang diekpedisi beliau ialah Hutan Hujan Belum, Perak dan Taman Negara, Pahang


Subjek keaslian alam semulajadi dirakam secara pandangan mata burung tersebut merupakan komposisi Hamdan yang digunakan untuk menghasilkan karya. Beliau amat tertarik dengan subjek alam semulajadi yang bersifat biasan. Pendek kata tidak lengkaplah jikalau kita melihat karya catan Hamdan tanpa biasan air. Biasan air telah menjadi nadi penting komposisi karya Hamdan. Adakalanya 100 peratus komposisi karya Hamdan dipenuhi dengan komposisi biasan air


Mengapa Hamdan menjadi begitu tertarik dengan biasan air?. Hamdan menyatakan beliau tertarik dengan kelembutan air yang mengalir, lalu menghanyutkan daun-daunan. Tambahnya lagi daun yang gugur dan mengalir di bawa arus seolah-olah kiasan alam terhadap manusia yang tiada pendirian, hanya mengikut arus sahaja. melihat karya Hamdan secara lebih mendalam seumpama kita melihat sebuah cermin besar dihadapan kita. Cermin tersebut memantulkan kisah alam semulajadi ciptaan Allah yang maha agung


Allah mencipta alam tanpa cacat cela, sebagai tanda-tanda untuk manusia memikirkan tanda-tanda kebesaran dan keagungaNya. " dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, untuk dijadikan pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengigati allah) Qaaf: 7-8


Keaslian panorama hutan yang dipantulkan oleh biasan air adalah realiti dalaman Hamdan yang sambil berkarya sambil memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah. Karya Hamdan boleh dibahagikan kepada tiga konsep. Pertamanya alam daratan yang membawa tamsilan alam dunia. Keduanya alam biasan daratan boleh membawa maksud tamsilan alam di bawah sana yang mana realiti bayangnya adalah bayangan alam keduniaan. Ketiganya biasan langit yang membawa tamsilan alam kerohanian


Biasan yang menwujudkan refleksi bayang daratan adalah sentuhan Hamdan yang membawa maksud mendalam. Bayang merupakan antara makhluk Allah yang sentiasa tunduk sujud kepada Allah. Apatah lagi alam yanag mana realiti kehidupannya adalah sebagai hamba Allah yang patuh dan pasrah kepada perintah Allah untuk kegunaan manusia, samada dari sumber makanan, teduhan maupun keperluan oksijen kita. " dan kepada Allah jualah sekelian makhluk yang ada dilangit dan di bumi sujud (tunduk dan menurut perintahnya), samada dengan sukarela atau dengan terpaksa. (demikian juga) bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang", Al-Ra'd ayat 15


Hamdan menerankan untuk menyiapkan sesebuah karya beliau perlu menumpukan mata, telinga dan memusatkan hati. Ada ketikanya beliau bermeditasi dengan memusatkan hati dan jiwanya untuk menghasilkan karya sentuhan tangannya yang unik. untuk membentuk titik, garis, rupa dan bentuk yang unik beliau perlu mengerahkan matahatinya untuk menghasilkan refleksi bayang dirinya dengan menyatukan dengan alam semulajadi. Meditasi, penyatuan diri dengan alam dan wadah hamba Allah dicerapkan secara intuitif (bawah sedar) memberikan impak istimewa karya Hamdan


Cerita Hamdan lagi pokok-pokok pun berzikir jua dan apabila pokok tersebut berhenti berzikir maka pokok tersebut akan mati. Dengan demikian naluri dalamannya tersentuh dengan tanda-tanda kebesaran Allah lalu membuat kiasan daun-daunan yang mati, jatuh lalu gugur sebagai hamba Allah setelah berzikir dan tunduk patuh kepadaNya. Mampukah kita menjadi gugur seperti daun-daunan yang gugurnya sebagai makhluk Allah yang bersih lagi patuh terhadap perintahNya


Dari kontek teknik Hamdan bijak menyeimbangkan diantara teknik renjisan dan lukisan, contohnya karya refleksi renung riak 5, teknik renjisan beliau membantu menghasilkan permukaan karya bersifat bersahaja, atau dengan erti kata lain beliau berjaya menghidupkan keaslian dasar air secara semulajadi. Hamdan berjaya menghasilkan rupa dasar air yang nampak seperti berlumut dan berkeladak jernih. Suasana alam yang tidak tercemar dan penuh keaslian tersebut membangkitkan "mood" pemerhati terhadap keindahan alam semulajadi. Kemudian dengan mengabungkan teknik "glazing" Hamdan mengawal dengan penuh teliti imej-imej beliau melalui kepakaran melukisnya



Dari segi warna Hamdan berjaya menghasilkan warna-warna semulajadi dan matang. Ada ketikanya Hamdan menghadkan penggunaan warna dengan agak minimal. Refleksi alun 2 dan 4 misalnya menggunakan warna monokromatik tetapi dikontraskan dengan hue daun-daun kering yang terapung berwarna oren dan merah menghasilkan sapuan seakan-akan kesan cat dakwat cina. Gabungan teknik renjisan dan sapuan beliau yang terkawal membuatkan karya beliau menjadi bersahaja dan nampak tenang


Ada beberapa karya Hamdan yang mutakhir menggunakan teknik pandangan dekat. Teknik komposisi secara pandangan dekat juga telah berjaya membawa pemerhati kepada fokus daun. Ada ketikanya Hamdan menumpukan terhadap bayang batang pokok dalam komposisi karyanya. Kekuatan beliau mengawal ruang positif dan negetif dalam karyanya juga menambahkan lagi keindahan karya Hamdan


Melalui beberapa karyanya Hamdan cuba menggabungkan imej manusia didalam karyanya. Menerusi renung riak 3 dan 4 misalnya Hamdan mengabunggkan watak manusia dan alam semulajadi. Pada awalnya beliau melukis bayang-bayang orang melalui refleksi biasan air, seterusnya beliau membuat tindihan alam semulajadi. Dengan mengabungkan teknik tindihan tersebut akhirnya Hamdan seolah-olah menghilangkan imej figura manusia dalam karyanya. Mungkin Hamdan tidak selesa dengan sikap sebahagian manusia yang memusnahkan hutan menyebabkan beliau menghilangkan watak-watak tersebut


Mungkinkah juga perasaannya sendiri yang tidak tenteram terhadap imej manusia itu dari kotek kesenian Islam. Namun secara umumnya melalui siri ini beliau memaparkan keindahan dan keaslian alam semulajadi ciptaan Allah yang maha agong. Sifat biasan alam yang bersih dan asli tersebut perlu ada dalam diri kita manusia demi untuk meneruskan kehidupan yang sejahtera


Secara umumnya melihat karya Hamdan secara lebih mendalam seumpama kita melihat sebuah cermin besar dunia dimana kita sendiri sebagai pelakon dan khalifahnya. Cermin besar dunia yang bersih, asli dan indah tersebut merupakan saudara kembar manusia yang berkhidmat kerana Allah. Tanpa disedari rupanya saudara kembar kita tersebut membekalkan kelansungan hidup kita sebagai khalifah Allah dengan mengitarkan karbon menjadi nafas yang meneruskan kehidupan kita. Tanpa kita sedari juga kadangkala kita gagal menjadi khalifah lalu kita memusnahkan saudara kita, ada kalanya terlalu rakus hinggakan kini saudara kita terpaksa bekerja keras untuk mengitar karbon. Fakta terkini mendapati keupayaan mengitar karbon telah melebihi tahap normal, dimana kekurangan pokok-pokok telah menjadikan proses menghasilkan nafas kita terbantut. Barangkali besok atau lusa kita kan bernafas dalam kesemputan


Artikel ini ditulis untuk katalog pameran solo Hamdan Shaarani (Refleksi), di Galeri Pelita Hati 2011

No comments: