Friday, March 13, 2009

Penghayatan karya Sharifah Fatimah Zubir ii

Sharifah Fatimah Zubir, " Garden of the heart",dipetik dari kad jemputan NN Galeri

Agak sukar untuk menterjemahkan karya SF ini. Secara keseluruhannya SF menggunakan format bentuk estetika kesenian Islam dalam pernyataannya. Sekali pandang karya ini kelihatan seperti sejadah, dua kali pandang karya ini seperti mimbar masjid. Namun secara umumnya apabila pandangan kita dapat menafsirkan gabungan sejadah dan mimbar, sudah tentunya karya ini mempunyai roh kerohanian Islam.

Seperti mana matlamat utama bentuk estetika kesenian Islam ialah mengagongkan Allah atau memercikan nilai Tauhid, gabungan serapan subjek sejadah dan mimbar memang membawa pemerhati kepada ciri tersebut. Pengunaan imbangan hampir semukur dua bedahak (approximately symertrical balance) telah menghasilkan bentuk modular bersifat gandaan. Imbangan pada bahagian kiri dan kanan dibahagikan dengan satu garis paksi ditengah menghasilkan pengulangan struktur modular. Pengulangan struktur modular tersebut secara tidak langsungnya menyerap sifat zikrullah. Umpamanya dalam Islam sifat zikir dibuat pengulangan dan juga gandaan.

Penggunaan subjek rujukan daripada alam tabii seperti burung merak dan tumbuhan telah melalui proses dineutralisasi, digaya-gayakan sehingga menimbulkan sifat mujarad. Proses mujarad atau abtraksi tersebut telah menlenyapkan sifat alamiah sehingga menimbulkan sifat kerohanian. Dalam tradisi kesenian islam bentuk alamiah tidak dinyatakan secara realiti luaran (realis) sebaliknya dipersembahkan melalui bentuk mujarad atau intipati dalaman.

Ulangan subjek rujukan tabii, warna, rupa, dan jalinan yang dikomposisikan secara pandangan saujana telah mengalihkan pemerhatian pemerhati dari titik tumpuan pada bahagian tengah karya telah menghilangkan perasaan kemuncak. Dengan erti kata lain tidak terdapat emosi permulaan, emosi pertengahan dan emosi kemuncak dalam karya ini. Secara keseluruhanya karya ini menggunakan emosi senada.

Cernaan rentak senada oleh SF dalam karya ini juga membuatkan karya ini kelihatan tenang dan tenteram. Dalam kesenian Islam tradisi seperti ukiran dalaman masjid yang mana apabila kita memasuki dewan sembahyang perasaan tenang dan tenteram akan muncul disebabkan pengulangan struktur modular ukiran yang banyak dan senada.

Garden of heart adalah pencapaian SF yang besar setelah puluhan tahun bergelumang dengan bentuk estetika. Pencarian beliau yang tidak pernah jemu telah ditemukan dengan satu perjalanan yang lebih kepada muhasabah diri. Moga perjalanan muhasabah diri ini dapat mengamit insan lain menghadapi perjalanan pulang yang di redhoi Allah. Semoga kita semua dapat pulang sepertimana sahutan panggilan Illahi......wahai jiwa yang tenang dan tenteram pulanglah dengan jiwa yang tenang, disana hanya yang ada hanyalah ucapan salam dan perkataan baik

1 comment:

Arham Azmi said...

teringat akan pembelajaran di itm dahulu...appreciation en. zainon pada karya amat mudah difahami