Monday, November 18, 2013

Studio Pati 1: Ahmad Shukri Mohamed dan Umi Baizura

Ahmad Shukri Mohamed (mat yee) dan Umi Baizura (Umi), dua orang karyawan seni visual Malaysia yang sangat progresif dan dinamik. Sepasang suami isteri yang berganding bahu mengangkat martabat seni visual kemerata dunia. Mat Yee menumpukan kepada penghasilan karya seni catan dan pemasangan, sementara Umi menerokai seni seramik dan seni pemasangan. Mereka membina studio Pati 1 di puncak Alam dengan bermodalkan keazaman yang kuat untuk mengembangkannya keperingkat antarabangsa.

Aku dan Ahmad Shukri

Umi


Studio Pati 1 berdiri dengan megahnya, telah menjadi sebuah universiti seni visual yang telah berjaya menjadi tempat rujukan ilmu samada dari dalam dan luar negara.Saban bulan studionya dilawati terutamanya oleh para pelajar dan sarjana seni visual.

Studio Pati 1 bukan sahaja menjadi tempat melatih karyawan baru atau artis muda bahkan mereka juga sering mengadakan program residensi dari peringkat antarabangsa.


Studio Pati 1 adalah lambang kegigihan sepasang suami isteri atau sepasang karyawan negara yang mendedikasikan sebahagian dari hidup mereka untuk memartabatkan seni visual negara hingga ke peringkat antarabangsa


Mat yee yang aku kenali merupakan seorang karyawan yang yakin dengan ketentuan rezeki dari Ilahi. Katanya selagi kita meletakan muka disejadah dan yakin dengan pemberianNya insyaallah kita akan mendapat rezeki. Bukan senang sebenarnya untuk menjadi karyawan sepenuh masa. Penulis sendiri pernah mencuba untuk berkarya sepenuh masa tetapi tewas kerana cabaran dan dugaanya terlalu besar. Disaat penulis menyambung belajar untuk menjadi tenaga pengajar Mat Yee mengambil keputusan untuk menjadi karyawan sepenuh masa kemudian diikuti dengan umi

Bagi merealisasikan impian mereka untuk meletakan Studio  Pati 1 ke peta dunia, mereka berdua terus bergerak sebagai karyawan sepenuh masa. Bersama-sama dengan Mat Yee, Umi bukan sahaja berjaya melakarkan studio pati 1 di peta dunia, bahkan Umi berjaya memecah tradisi rekaan karya seni seramik kontemporari. Seni seramik tidak lagi dipersembahkan secara tradisi dimana karyawan menggunakan seratus peratus tanah liat sebagai proses berkarya. Umi bukan sahaja menggabungkan bentuk seramik dengan pelbagai bahan seperti besi, tembaga dan kayu antaranya. seni seramik yang di nukilkan oleh umi telah berkembang bersama seni pemasangan yang pelbagai telah mengangkat karya seni seramik Malaysia yang sangat kontemporari.

Mat Yee seorang usahawan seni Visual yang gigih berkarya menaburkan sumbang bakti kepada negara. Beliau tidak bersifat individualistik. Ini adalah kerana, dengan nilai lukisannya mencecah puluhan ribu ringgit sekeping Mat Yee boleh membina empayarnya tanpa memikirkan masyarakat. Namun Mat yee membudayakan masyarakat dengan seni visual sambil membantu insan lain membina masa depan seni visual negara. Sesungguhnya studio Pati 1 adalah semangat, perjuangan dan pengorbanan Mat yee dan Umi bagi memartabatkan seni visual negara.

Penulis teringat semasa dizaman 90an dimana kami sama-sama tinggal di Meru. Waktu tersebut kami baru memulakan proses hendak menjadi karyawan. Pada waktu itu kami bekerja sebagai pengajar separuh masa di itm. Penulis terkenangkan dalam satu perjalanan pulang dari kota Baharu (penulis menghantar orang rumah untuk bersalin), Mat Yee pulang ke kampung. Sampai di Machang kereta penulis pancit, setelah menukar dengan  tayar terpakai, poket penulis kosong. Kami meneruskan perjalanan ke Meru. poket Mat Yee pun cuma tinggal lima ringgit sementara menunggu elaun kerja sambilan dua tiga hari lagi. Sampai di seksyen 2 Shah Alam Mat Yee mengajak penulis makan tengahari di gerai seksyen 2, katanya dia belanja. Mat Yee membeli empat keping roti berkerim dan memberi penulis dua keping. Tengahari itu Mat Yee belanja penulis makan tengah hari dengan dua keping roti dan segelas teh tarik. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Meru

Studio Pati 1 semoga dapat menginspirasikan beribu karyawan seni visual bagi mengangkat martabat seni visual negara ke mata dunia, wassalam

No comments: