Saturday, November 16, 2013

Muh Sarip : karyawan negeri bawah bayu


Muh Sarip, seorang karyawan muda yang prolifik. Beliau menghasilkan karya seni catan realis yang digabungkan dengan  imej abstrak. Subjek rujukan karyanya kebiasaanya dipersembahkan secara realis, sementara latar belakang karyanya dihiasi dengan bentukan corak abstrak. Muh Sarip amat suka membuat kombinasi subjek rujukan dari alam manusia dan alam haiwan yang dipasangkan dengan subjek mesin, robot maupun tranformer. 

Secara tidak langsungnya Muh Sarip yang membesar dizaman tranformer mempersembahkan  karya yang mewakili zamannya. Kini dunia teknologi telah mengambil alih sebahagian besar kehidupan kita, manusia. Kita seolah-olah tidak lagi boleh dipisahkan dengan kemajuan teknologi. Teknologi berubah hampir setiap hari. Teknologi internet umpamanya telah memendekkan jarak dunia dan komunikasi. Komunikasi yang beribu batu dipendekan hanya dihujung jari sahaja. Namun bahana teknologi ini pun seperti dadah juga, jika sekiranya kita tidak menggunakan dengan betul ia akan menjadi pemusnah yang berbahaya. 

Melalui karya ini yang bertajuk NMW 2.10 Hip Hop Less, Muh Sarip, menggabungkan watak beruang dan tranformer. Beruang yang sedang mengaum adalah simbolik Muh Sarip terhadap manusia yang bersifat binatang. Manusia yang menyalahgunakan teknologi untuk menghina orang lain. Manusia yang lupa diri walaupun membesar dibumi bertuah Malaysia, namun menggunakan teknologi terkini membina kehidupan yang penuh perasangka dan perasaan hasad dengki. Muh Sarip membiarkan rupa kosong pada bahagian hati dan perut tersebut sebagai tanda protesnya terhadap tingkah laku manusia yang bersifat binatang dan tidak berhati perut. Sepatutnya walaupun pegangan hidup manusia itu berbeza namun biarlah kita hidup dalam suasana harmoni tanpa benci membenci



Me and The Killer scissor, 2010.  Adalah luahan Muh Sarip terhadap sifat gunting dalam lipatan yang menjadi budaya sesetengah orang. Gunting yang dipersembahkan secara realis dan sedang momotong kain kanvas adalah sinikal Muh Sarip terhadap sifat menikam dari belakang yang sangat menyakitkan. Mengata, mengumpat merupakan sifat manusia yang suka menikam dari belakang dimana sifat tersebut sangat dilarang. Sehinggakan Rasulullah (s.a.w) pernah mengumpamakan sifat tersebut seperti memakan daging saudara yang telah mati

Mastemind of Conspiracy, 2010, merupakan imej wajah watak manusia yang telah diprogramkan untuk menjadi mesin ataupun robot. Robot tersebut merupakan sebuah mesin yang hanya mengikut arahan. Sifat kemanusiaan seolah-olah gugur berkeping-keping hinggakan muka manusia telah berlubang.  Manusia robot yang telah dibuang sifat manusia yang hanya dijadikan boneka untuk mencapai kejayaan pribadi. Konspirasi merupakan propaganda ataupun pukau moden yang digunakan oleh sesetengah manusia untuk mencapai cita-citanya. 


Secara keseluruhannya Muh Sarip menggunakan komentar sosial bagi menyampaikan mesej karyanya. Kritikan-kritikan tersebut merupakan saripati pandangan, pengalaman dan persekitaran yang dilalui oleh Muh Sarip. Kini kemajuan teknologi yang meledak begitu dahsyat telah menyebabkan berlaku ledakan zaman keji mengkeji dan fitnah menfitnah. Kini ada ketikanya manusia lebih percaya khabar dari teknologi walaupun belum tentu kesahihan faktanya. Fakta-fakta sahih dari al Quran dan Sunnah misalnya sudah kurang diperdulikan. Ledakan teknologi  merupakan sebuah bom jangka yang sedang menunggu masa untuk meletup. Namun jika sekiranya kita masih berpandukan al Quran dan hadis dan menggunakan teknologi dengan cara yang baik, boleh jadi dapat mengawal bom jangka dari meletup ataupun setidak-tidaknya melambatkannya.

Mr Concept Sial, 2010


Rip, 2010





No comments: