Friday, February 27, 2009

Apreasiasi karya Jalaini Abu Hassan

Peacekeeper, 2003, Acrylic on canvas 77x170 cm. Alia & Farouk Khan Collection

Jalaini Abu Hassan (Jai) seorang seniman yang prolifik. Apabila kawan-kawan mendengar berita yang jai demam, misalnya diwaktu cuti semester kawan-kawan sudah tahu beliau sedang mengerahkan keringatnya menghasilkan karya. Sindrom demam Jai tersebut akan disusuli dengan pameran persaorangan. Biasanya Jai akan memanggil kawan-kawan untuk melihat karyanya selepas demam tersebut.

Melalui karya Peace keeper ini Jai menggunakan tema yang agak diluar kebiasaanya. Jai sinonim berkarya dengan tema-tema nostalgia dan semangat antaranya. Tema peperangan telah mencuit hatinya untuk mewarnakan format 77x170 cm kanvasnya. Barangkali berita peperangan yang saban hari ditontonnya dikaca televesyen telah mengusik mindanya. Boleh jadi apabila beliau melihat anak-anak kecil yang terburai dan putus kaki misalnya telah membangkitkan rasa simpati yang amat mendalam. Apatah lagi Jai mempunyai anak-nak kecil yang sama usia dengan anak-anak mangsa peperangan tersebut.

Peacekeeper menggunakan tiga subjek utama, iaitu lembu, kapalterbang perang dan kereta perisai. Dengan menggunakan ruang cetek (shallow space) Jai memisahkan sempadan langit dan bumi dengan garisan spontan horizontal dan vertikal pada bahagian tengah karya. Diatas garisan horizontal tersebut terdapat beberapa kawasan berasap tebal seperti mencadangkan kesan ledakan bom atau tembakan meriam. Dipenjuru kiri karya kapal terbang perang dikomposisikan secara vertikal, dengan dikontraskan dengan asap hitam yang tebal seperti mencadangkan dalam perang mesti ada kemusnahan.

Subjek lembu diseimbangkan secara tak semukur (assymetrical balance) dengan kereta perisai telah menjadi fokus utama karya ini. Jai bijak mencaturkan subjek lembu sebagai bahan sindiran dan kiasan beliau. lembu yang kekenyangan sedang berehat tanpa menghiraukan apa yang berlaku, merupakan kiasan Jai terhadap Peacekeeper. Boleh jadi peace keeper juga umpama lembu yang tidak boleh mendengar pendapat orang lain, selain dari pendapatnya sahaja yang betul.

Thursday, February 26, 2009

Apreasiasi karya Ahmad Osni Piee

Timur, 1996, Bronze, 61x61x61 cm
Sesuai dengan tajuknya 'Timur', Ahmad Osni Peei (AO) seorang pengarca Amerika berketurunan Indonesia menghasilkan karya menggunakan bentuk estetika timur. Namun kepekaan beliau mengadunkan dengan bentuk estetika barat menyebabkan karya ini menjadi sangat istimewa.
AO tidak gemar menghasilkan karya dengan menggunakan imej atau perlambangan. Beliau berhujah imej atau pun perlambangan umpama penceritaan. Beliau berpendapat lebih baik kaedah penceritaan dihasilkan melalui novel. Melalui karya ini AO memilih subjek rujukan yang bersifat non-objektif. Katanya lagi keinginan beliau untuk meneroka pure art dan pure form adalah disebabkan dorongan untuk mencari essence atau intipati sesuatu bentuk. Bentuk rahsia yang tersembunyi didalam minda kanan tersebut merupakan cabaran yang suka dihadapinya.
AO memilih subjek rujukan bersifat invented, iaitu rupa bulat. Daripada satu rupa bulat beliau membuat gandaan menjadi dua. Seterusnya daripada gandaan dua tersebut diulangkan lagi menjadi gandaan empat. Melalui ulangan ganda dua dan empat tersebut AO menggunakan teknik ruang ambiguos bagi menemukan pertembungan diantara kedua-dua gandaan tersebut. Keindahan karya ini tercipta apabila pertemuan hujung gandaan tersebut menjadi bersambungan. Mata pemerhati ditipu secara ambiguos menyebabkan rupa gandaan tersebut bergerak secara berkesinambungan, never ending ataupun di Jepun dikenali sebagai endless line.
Kekuatan AO mengunakan bentuk estetika kesenian Islam terserlah dalam karya ini. Unsur gandaan merupakan ciri utama dalam kesenian Islam. Seperti pantun dua atau empat kerat seni ukiran melayu juga mengunakan konsep dua bedahak, empat bedahak dan seterusnya. Unsur kesinambungan dan ifiniti juga merupakan ciri penting kesenian Islam. Melalui karya ini AO berjaya membawa pemerhati melihat karyanya secara infiniti. Konsep infiniti bertujuan menggelakan mata pemerhati daripada focal point ataupun dalam kesenian Islam dikenali sebagai titik tumpuan. Dalam kesenian Melayu konsep infiniti diamalkan oleh pengukir terdahulu misalnya konsep " tumbuh berpunca, punca penuh rahsia".
Kesenian Islam sememangya menggunakan ruang ambiguos. Ini samada dalam bentuk ukiran Melayu maupun arabes. Sifat utama ruang ambiguos ialah pelenyapan latar belakang dan hadapan menjadi tidak pasti mana satu hadapan dan mana satu belakangnya. Melalui karya ini AO berjaya melenyapkan rupa gandaan bulat menjadi keliru mana satu endingnya. Kekuatan AO mencernakan bentuk kesenian timur dalam nada kontemporari masa kini menyebabkan karya ini telah mendahului zaman.

Wednesday, February 25, 2009

Apreasisi karya Siti Zainon Ismail

Kod 1977.20 " Gelora Gelombang Jugra ", Pastel, 51x54 cm

Siti Zainon (SZ) nama besar yang merpersadai kesenian tanahair melalui beberapa cabang displin keilmuan. Beliau adalah pelukis, penyair dan budayawan negara. SZ tidak pernah mensia-siakan bakat yang dianugerahkan Tuhan dengan mempelopori setiap cabang kesenian dengan bersungguh-sungguh. Sebagai seorang sarjana beliau berusaha memanfaatkan bakat anugerah Allah untuk menerangi orang lain. Seperti kata pepatah " Bagaikan dian yang membakar dirinya".

Gelora Gelombang Jugra adalah meditasi seni beliau yang dilontarkan dalam nada penuh kesenyapan. Beliau menganyam garisan lyrical dengan pastel sehingga membentuk perasaan yang tenang dan shahdu. Bentuk bertextura kubah digandingkan dengan 'tumpal' dan bulan purnama menjadikan komposisi karya ini ringkas (simplicity) dan berisi. Kekuatan beliau menggunakan garisan lyrical yang di adun dengan menggunakan bentuk bertextura menyebabkan syair dan puisi yang sebati dengan jiwanya mengalir keluar melalui tanda tampak. Ulangan perkataan seakan-akan alif, lam,lam,ha yang memenuhi karyanya secara tidak langsung adalah intipati perasaan dalamannya yang mengalunkan lagu cinta abadi kepada yang maha Esa.

Bulan kuning diufuk biru adalah imejan tanda tampak yang dialirkan oleh SZ bagi membangkitkan rasa shahdu beliau terhadap kejadian malam. Allah meminta kita berfikir tanda-tanda kejadian ciptaanNya. Melewati karya ini SZ mengolah perasan tenteram dalamannya yang khusyuk memikirkan kehebatan tanda-tanda ciptaan Allah , iaitu kejadian malam. Allah menghiaskan malam dengan bulan menguning bersama udara nyaman. Allah merekacipta perasaan yang halus dan gementar yang dimiliki setiap insan. SZ menggunakan pandangan mata hatinya mentafsirkan kembali keindahan suasana malam tersebut lalu memindahkan ke atas kertas, menjadikan karya ini segar dan tenteram

Imej kubah yang menjadi dominasi komposisi pula seolah-olah melindungi kehidupan. Bentuk bertextura tumpal pula seperti kisah perjalanan menuju kesana (alam lain). Gabungan kubah, tumpal dan bulan kuning diufuk biru melalui anyaman garisan lyrical telah menjadikan karya SZ menepati ciri-ciri kesenian Islam. Menurut Titus Ibrahim Buchart seni Islam mestilah membangkitkan perasaan dalaman pemerhati sebagai 'perasaan yang bebas, lepas dan tenang. Sungguhpun kebanyakan kesenian Islam terutamanya arabes menggunakan warna minimal (misalnya putih), namun SZ berjaya membangkitkan perasaan tenang tersebut melalui perantaraan warna.

Perantaran warna yang beliau gunakan bersesuaian dengan perasaan puitisnya yang dialirkan menerusi "Gelora Gelombang Jugra". Keindahan karya ini jika dilihat melalui sudut lain ternyata cara SZ mengalunkan karya ini bertepatan seperti apa yang dibahaskan oleh Al Faruqi mengenai kesenian Islam. Al Faruqi menyentuh sruktur kesenian Islam mestilah menggunakan format keindahan Al Quran. Keindahan Al Quran diciptakan Allah diturunkan melalui perantaraan kalam, namun persembahan kalamullah tersebut disampaikan secara alunan lagu shahdu.

SZ berupaya menimbulkan getaran warna melalui kawalan garisan lyrical bertextura. Rentak tidak senada ( random rhythm) yang beliau gunakan dalam komposisi karya ternyata menimbulkan alunan shahdu yang senyap.

Apreasiasi karya Ahmad Shukri Mohamed, ii

Target series "waiting For The Lover I", Mixed Media, 176x182 cm, 1995

Rama-rama, kumbang dan bunga-bungaan adalah subjek rujukan dari alam yang menjadi pilihan utama Ahmad Shukri (AS). Sekuntum bunga yang sedang mekar berkembang dibahagian kiri karya pula mendominasikan komposisi karya beliau. Namun AS dengan bijaknya mengalihkan dominasi tumpuan mata daripada tumpuan kepada sekuntum bunga besar kepada kepada titik tumpuan yang berselerak. Titik tumpuan yang diperkembangkan beliau dialihkan kepada pelbagai tumbuhan dibahagian kanan karya. Titik fokus berselerak yang menggunakan konsep Cristallographic Balance ini diperkukuhkan lagi oleh AS dengan memasukan bentuk kotak-kotak yang menjadi seakan bingkai karyanya.

Rama-rama, kumbang dan bunga-bungaan adalah kiasan kisah kasih AS. Sekitar 1995 sewaktu sama-sama bertugas di ITM dan tinggal di Meru, karya ini dihasilkan. Seperti insan lain yang Allah kurniakan rasa mekar cinta, AS pun turut mengalaminya. Namun bak kata pepatah lautan mana yang tidak dilanda badai, maka AS pun terkena badai juga. Barangkali secara tidak disedari AS memindahkan kisah kasih tersebut didada kanvas. Biasanya kita tidak menyedari proses intuitif tersebut. Gerak intuitif yang Allah ciptakan terserap secara pengamatan melalui pengalaman dan persekitaran.

Pemindahan kisah kasih secara bawah sedar inilah, telah mengangkat karya AS sebagai sebuah karya yang diabadikan dengan kandungan isi 'content' secara tulus. AS tidak merangka kisah kasihnya secara sedar membuatkan apa yang di kata oleh Ismail Zain sebagai "serapan peristiwa sehari-harian". Namun bagi mereka yang baru berjinak dengan karya seni kebiasaannya kisah kasih ataupun tema cuba diterjemahkan ke kanvas secara intepertasi .

Syed Ahmad Jamal pernah menegaskan perbezaan diantara interpertasi dengan pengalaman langsung. Beliau menghujahkan pengalaman beliau menghasilkan karya "Hujan Panas" adalah selepas beliau pulang dari stadium merdeka setelah melihat, mendengar dan mengalami peristiwa pengistiharan kemerdekaan secara langsung. Interpertasi secara tema tambah beliau seumpama orang yang tidak melihat peristiwa tersebut secara primary, namun hanya melihatnya melalui buku atau rakaman audio. Peristiwa yang dilihat mereka secara secondary data tersebut dipindahkan kekanvas. Misalnya mereka melukis gambar Tunku Abdul Rahman sedang mengangkat tangan melaungkan kemerdekaan. Mereka melukis kembali imej tersebut dan memberinya tajuk laungan kemerdekaan 57.

Pemindahan karya secara intiutif ini, dan bukannya naratif telah meletakan karya AS sebagai sebuah karya seni halus yang mempunyai nilai significant yang hebat dan membuatkan karyanya dinamik, indah dan bertenaga. Keindahan sebuah kisah cinta yang Allah ciptakan perasaan mekarnya telah pun dimiliki oleh AS. Kini mereka mengembeling tenaga untuk mengangkatkan martabat seni negara dengan terciptanya rumah umi-shukri yang diberi nama studio pati satu.

Monday, February 23, 2009

Apreasiasi karya Tisna Sanjaya

Seniman, Utopia: Akrilik Diatas Kanvas,130x120 cm, 2008 Gambar dipetik dari katalog INCARNATION, Solo Exhibition-ARTsphere Gallery 2008,Jakarta, Indonesia, untuk tujuan pendidikan

Tisna Sanjaya sebuah nama besar seniman kelahiran Bandung, Indonesia. Kami sudah beberapa kali bertemu, terakhir sewaktu penulis mengadakan kunjungan ke ITB, melalui program International Art Exchange 2008 lalu. Beliau seorang yang amat simple dan mudah didekati. Raut wajahnya kelihatan tenang.

Namun begitu ketenangan wajahnya bagaikan kata pepatah Melayu " Air yang tenang jangan disangka tiada buaya". Melalui raut ketenangan wajahnya, Tisna sering melontarkan pelbagai isu semasa terutamanya tentang isu politik, isu alam sekitar dan isu rasuah antaranya. Kelantangan beliau sehinggakan ada karyanya yang dimusnahkan oleh pihak tertentu.

Karya Seniman, Utopia, bertitik tolak kepada isu semasa, iaitu isu kemanusiaan dan alam sekitar. Figura manusia berdiri diatas bumi yang kurang subur diikuti dengan tumbuhan yang tumbuh ditangannya, membawa maksud jeritan kemanusiaan Tisna. Kemusnahan alam sekitar yang telah mengundang pelbagai bencana akibat dari tangan manusia itu sendiri. Alam sekitar yang membekalkan oksijen sambil mengitarkan karbon telah berada dalam situasi yang agak kritikal. Sambil berdiri diatas bumi yang terperangkap dengan kehausan dan kelaparan manusia kapitalis Tisna mendepakan tanganya sambil bersuara tentang kehidupan dan sistem ekologi. Suara visualnya mengaum di bumi ini, tidak bolehkah kita hidup dalam rantaian ekologi yang saling menghormati diantara satu sama lain.

Tumbuhan adalah saudara nafas kita yang Allah anugerahkan sebagai pembekal oksijen untuk kelangsungan hidup kita. Binatang-binatang juga kejadian Allah untuk kita, samada kita mengenderainya atau dagingnya menjadi sumber tenaga untuk kelangsungan hidup kita di bumi Allah ini. Dunia kini di penuhi penjara, iaitu penjara yang dicipta oleh ahli kapitalis yang tamak dan haloba terhadap keampuhan dunia material. Tidak adakah rantaian hubungan baik sesama manusia ( habluminannas), Hubungan baik dengan pencipta (habluminallah) dan sifat ehsan terhadap alam kehaiwanan. Alangkah indahnya jika kita manusia dapat hidup dalam rantaian yang baik, saling hormat menghormati sesama insan , kepada pencipta dan juga kepada alam serta binatang-binatang

Apreasiasi karya Noor Mahanum Mohamed

Girl With a Hoop, 2002, Oil On Canvas, 147x117 cm

Kesunyian apakah yang melanda Noor Mahnum (NM). Seorang anak kelantan yang merantau dan mengembara mencari ilmu dan kehidupan sehingga diterima belajar di Hochschule fur Bildende Kunste, Braunschweig, German.

Dalam Girl With a Hoop figura perempuan yang sedang bermain hoop dijadikan titik fokus bagi menimbulkan kesan dominant karya. Subjek rumah pula diletakan dibahagian bawah penjuru kiri diatas garisan horizontal pemisah langit dan bumi untuk menimbulkan suasana kontras. Karya ini mempunyai kesan kualiti Whimsical kerana ianya kelihatan agak naive. Selain itu Noor Mahnum menggunakan pendekatan minimalis dan surealis.

Pendekatan surelis yang mengutamakan pemikiran bawah sedar dan alam mimpi diaplikasikan oleh NM sehingga membangkitkan perasaan dalaman tentang sebuah nostalgia di masa kanak-kanak. Namun figura perempuan tersebut bukan lagi kanak-kanak. Barangkali NM merakamkan diri beliau dan kenangan nostalgianya masa lalu. Alangkah indahnya zaman kanak-kanak lalu, dimana kehidupan dan alam berlalu secara naive. Berbanding dengan alam dewasa yang penuh dengan pancaroba.

Komposisi rumah yang berskala kecil, serta diletakan diatas garisan horizontal merupakan kenangan silamnya sebagai seorang perantau. Kenangan tersebut bergerak di minda beliau lalu terciptalah sebuah kenangan yang di abadikan sebagai sebuah karya seni visual. Karya ini bukanlah sebuah gambar kehidupan, sebaliknya adalan luahan perasaan yang tersimpan dalam minda sebagai sebuah pengalaman dan kenangan.

Girl With a Hoop ialah kisah sebuah misteri kehidupan yang diciptakan Allah. Minda manusia boleh mengaktifkan kisah silamnya yang berusia puluhan tahun dan diluahkan kembali samada dalam medium cerita, novel maupun medium seni visual seperti yang dilakukan oleh NM. Rakaman mindanya mengenai kehebatan Allah mencipta memori adalah keindahan estetika karya ini.

Friday, February 20, 2009

Apreasiasi karya Sharifah Fatimah Zubir

Greenfields, 1988, Akrilik di atas Kanvas, 187x153cm.

Agak sukar untuk mentafsir siratan karya Sharifah Fatimah (SF) . Karya beliau tidak menggunakan imejan daripada subjek yang dikenali. Sharifah Fatimah ternyata mengemari bentukan imejan yang bersifat non-representational. Beliau menggunakan nada pengucapan melalui bentuk berestetika. Unsur-unsur formal estetika seni visual seperti rupa, warna dan textura di satukan dengan prinsip rentak, keseimbangan, pengulangan dan kontra antaranya membuahkan hasil karya yang indah.

Keindahan pengucapan estetik karya beliau terhasil dari kekuatan imaginasi dalaman. Minda bawah sedarnya mengumpulkan pengalaman kehidupan seharian lalu tangannya menterjemahkan pengalaman tersebut secara intuitive.

Dengan menggunakan Rentak Tidak Senada ( Random Rhythm) SF seolah-olah menarikan rupa, bentuk, textura dan warna diatas kanvas. Padang Hijau menghubungkan perasaan girang dan keindahan alam. Jika diteliti bentukan bertextura pada bahagian tengah karya adalah seperti figura manusia yang sedang menari dengan dendangan lagu alam. Warna biru sejuk diatas barangkali garapan intuitive beliau tentang kesyahduan fajar. Garisan kuningya seperti menanti sinar kuning emas matahari pagi yang menyinsing.Warna padang kehijauan pula merupakan suasana siang yang damai.

Susunan rentak tidak senada tersebut disulami dengan tindanan bentuk bertextura dan padang hijau seolah-olah diiringi dengan muzik alam dan tiupan angin, menyebabkan karya ini menjadi dinamik dan bertenaga. Kepelbagaian sulaman warna seperti oren, biru gelap, coklat menyerikan lagi karya ini. Karya ini diseimbangkan dengan warna biru pada bahagian bawah seperti menghubungkan diantara alam kemanusiaan dan alam kealaman.

Kesimpulanya karya ini memaparkan bentukan tarian diatas padang yang berbumbungkan langit dan berlantaikan air. Kesemua fanomena alam ini (langit, padang dan air) adalah penzahiran kesyukuran beliau terhadap tanda-tanda keindahan alam ciptaan Allah. Alangkah indahnya jika perasaan damai dan kekaguman perasaan dalaman terhadap keindahan tanda-tanda alam ciptaan Allah ini dizahirkan oleh semua manusia dalam bentukan dan keilmuan masing-masing.